15 September, 2009

Salam Aidil Fitri



Hampir sebulan sudah Ramadhan berlalu, kini tiba Hari Raya. Sambutan yang disambut tentunya meriah dengan suasana Raya ada di mana-mana. Jalan-jalan raya di kota dihiasi dengan lampu-lampu berwarna-warni, manakala di pasar raya hiasan ketupat ada di mana-mana. Siaran tv dan radio menyajikan rancangan berbentuk raya dan lagu raya berdendangan.
Kita seharusnya memahami bahawa Aidilfitri bermaksud kembali kepada fitrah atau kesucian. Allah menciptakan manusia untuk mempunyai kecenderungan yang baik kepada kebenaran. Sebab itu kita dikehendaki berpuasa yang sekali gus membolehkan kita kembali kepada kesucian dan kebenaran maknanya menjadi kelompok yang terpelihara daripada perbuatan tidak baik daripada norma-norma agama dan masyarakat.
Oleh itu sempena Aidilfitri, sementara kita bergembira menyambutnya  jangan sesekali kita lupa untuk bersyukur dan sentiasa bersikap sederhana dalam apa juga yang kita lakukan.







Selamat Hari Raya... Maaf Zahir & Batin
dari Rusdi Sekeluarga

11 September, 2009

Masjid Tengkera, Melaka

Masjid Tengkera merupakan masjid yang terletak di Tengkera, Melaka dan dibina pada tahun 1728. Masjid ini merupakan salah satu masjid yang tertua di negara yang dibina pada zaman pemerintahan Belanda.
 
Masjid ini yang mempunyai reka bentuk ketersergaman ala Sumatra menegakkan bukti bahawa Islam sudah bertapak di Melaka sejak 600 tahun yang lalu. Masjid ini tidak mempunyai kubah konvensional tetapi bumbung tiga tingkat seperti piramid.
Makam Sultan Hussein Muhamd Shah dari Johor terletak di dalam kawasan masjid ini. Baginda merupakan raja yang menyerahkan Singapura kepada Sir Stamford Raffles. Selepas penyerahan Singapura, baginda meninggalkan Singapura dan berpindah ke Melaka, kemudian mangkat di situ dan dimakamkan di perkarangan masjid ini. 

Masjid Al-Muhammadi, Kota Bharu

Masjid Muhammadi mula di bina pada tahun 1867 menggantikan bangunan lama yang roboh kerana banjir.Merupakan mercu tanda yang penting di Kota Bharu, masjid ini memperlihatkan kubah berwarna keemasan dan ianya diberi nama Masjid Al Muhammadi sempena nama Sultan Muhammad ke IV yang banyak berjasa kepada Negeri Kelantan dan melalui pembinaan semula pada tahun 1925 semasa zaman pemerintahan Sultan Ismail.

Pada kurun ke 18 masjid ini merupakan pusat aktiviti pendakwah islam, di mana alim ulama yang tersohor seperti Tuan Tabal (1840-1891) Haji Wan Ali Kutan (1837-1912) dan Tok Kenali (1868-1933) telah berdakwah dan mengajar di sini. Sistem pengajaran di masjid ini mempunyai persamaan dengan pengajaran di Masjidil Haram Mekah di mana pelajar akan pergi ke Mekah untuk menyambing pelajaran mereka setelah tamat di masjis ini. 

Masjid Lebuh Acheh, Georgetown, Pulau Pinang.

Pemuliharaan bangunan lama merupakan suatu perkara yang baru bagi sesetengah masyarakat Malaysia dewasa ini.

Di bandar-bandar besar seperti Georgetown, Melaka, Taiping, Kota Bharu, Kuching dan Kuala Lumpur, pelbagai usaha pemuliharaan bangunan telah diambil oleh pihak awam dan swasta.

Ia bagi mempastikan bangunan-bangunan lama yang mempunyai warisan sejarah, seni bina dan budaya dapat dipelihara dan dikekalkan untuk tatapan generasi masa kini dan akan datang.

Di Georgetown, terdapat beberapa buah bangunan lama yang telah dipulihara dengan baik.



Salah sebuah bangunan yang telah dipulihara ialah Masjid Melayu Lebuh Acheh di Lebuh Acheh yang dibina pada 1808.
Terletak berdekatan dengan beberapa buah bangunan bersejarah di kawasan warisan di tengah bandar Georgetown seperti Rumah Syed Al-Attas dan Tokong Khoo Kongsi, Masjid Melayu Lebuh Acheh ini mempunyai warisan sejarah dan seni bina yang tinggi terutamanya di zaman kegemilangan serta kebangkitan Islam di Pulau Pinang pada awal abad ke-19.
Pada 1995, sebanyak RM2.2 juta telah diperuntukkan pihak kerajaan bagi kerja-kerja pemuliharaan Masjid Melayu Lebuh Acheh.
Projek pemuliharaan masjid ini telah mengambil masa selama dua tahun yang bermula pada Jun 1995 dan berakhir pada Jun 1997.
Ia diletakkan di bawah penyelarasan sebuah Jawatankuasa Pemandu Projek yang terdiri daripada pelbagai pihak termasuk Unit Penyelarasan Pelaksanaan di Jabatan Perdana Menteri, Pulau Pinang, Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Pejabat Kemajuan Negeri Pulau Pinang, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, Jabatan Muzium dan Antikuiti, Universiti Sains Malaysia, Jabatan Kerja Raya Pulau Pinang dan Badan Warisan Masjid Melayu Lebuh Acheh.
Sejarah Masjid Melayu Lebuh Acheh bermula pada 1792 apabila Tengku Syed Hussain Al-Aidid iaitu seorang kerabat diraja Acheh, Sumatera, Indonesia membuka sebuah kawasan perkampungan masyarakat Islam seluas 66,000 kaki persegi di Lebuh Acheh, Georgetown, Pulau Pinang.
Syed Hussain adalah seorang pedagang Acheh yang kaya dan berjaya ketika Pulau Pinang baru dibuka oleh Kapten Sir Francis Light pada akhir abad ke 18.
Dengan kekayaan dimilikinya, Syed Hussain dengan kerjasama kaum keluarga dan pengikutnya telah membuka dan memajukan sebuah penempatan di Lebuh Acheh dengan mendirikan sebuah masjid, menara, rumah kediaman, deretan rumah kedai, Madrasah al-Quran dan pejabat perdagangan.
Hasil usahanya ini secara tidak langsung telah mewujudkan sebuah pusat pengajian agama Islam dan pusat perdagangan antarabangsa yang bukan sahaja terkenal pada ketika itu tetapi yang terulung dan terawal di Pulau Pinang.
Bilangan penduduk dan masyarakat di perkampungan Masjid Melayu Lebuh Acheh telah berkembang pesat dengan kedatangannya ramai pedagang-pedagang baru dari negeri-negeri di Tanah Melayu, Tanah Arab dan India.
Selepas kematiannya pada pertengahan abad ke-19, perkampungan tersebut terus berkembang maju dan telah mencapai tahap kegemilangannya sehingga akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20.
Beliau telah disemadikan di sebuah makam yang terletak bersebelahan Masjid Melayu Lebuh Acheh. Di kawasan makam ini juga terdapatnya beberapa kubur ahli keluarga Syed Hussain.
Perkampungan Masjid Melayu Lebuh Acheh telah menyaksikan pelbagai jenis perdagangan termasuk perniagaan rempah ratus, bazar pakaian dan barangan kemas, percetakan kitab agama Islam, pengurusan haji dan kedai-kedai makanan.
Suatu ketika dahulu, perkampungan ini dikenali sebagai "Jeddah Kedua" di rantau ini. Ini adalah kerana di kawasan inilah ratusan bakal-bakal haji dari Malaysia, Indonesia dan Thailand berkumpul sebelum berlepas ke tanah suci Mekah.
Bakal-bakal haji ini akan menaiki kapal laut yang telah disewa dari syarikat swasta Inggeris, Mansfield & Co. di bawah jaminan Sheikh Zakaria Basheer. Tidak hairanlah sekiranya terdapat banyak syarikat pengurusan bakal-bakal haji dan wakil-wakil penjualan tiket penumpang kapal laut termasuk syarikat Jeddah Pilgrims Ticketing Agency yang beralamat di No. 87, Lebuh Acheh.
Setiap kali musim haji tiba, pekarangan dan persekitaran Masjid Melayu Lebuh Acheh menjadi sibuk bukan sahaja dipenuhi oleh bakal-bakal haji yang menunggu dokumen-dokumen haji mereka diproses tetapi juga dibanjiri oleh saudara-mara dan sahabat-handai.
Ini telah menyebabkan hampir kesemua rumah-rumah di kawasan masjid ini telah disewakan kepada orang ramai. Bagaimanapun, segala urusan haji telah terhenti semasa Perang Dunia Kedua dan disambung semula pada 1949.
Dengan tertubuhnya Lembaga Urusan dan Tabung Haji Malaysia pada awal 1970an, perkhidmatan pengurusan haji di perkampungan Masjid Melayu Lebuh Acheh telah dihentikan.
Selain daripada menjadi pusat perniagaan Melayu dan pusat haji, kawasan perkampungan Masjid Melayu Lebuh Acheh telah menjadi pusat pengajian agama Islam yang terulung di Pulau Pinang.
Sheikh Omar Basheer Al-Khalilee yang pernah tinggal di rumah beralamat No. 69, Lebuh Acheh telah menjadi imam di Masjid Melayu Lebuh Acheh sebelum pertengahan abad ke-19 dan juga pernah mengajar agama Islam kepada masyarakat tempatan.
Selepas kematian Sheikh Omar Basheer, anaknya Sheikh Zakaria telah mengambil-alih tugasnya sebagai pemimpin agama di kawasan tersebut. Sheikh Zakaria kemudiannya telah dilantik sebagai Mufti Pulau Pinang yang pertama.
Pada 1888, abangnya Sheikh Yahya telah dilantik sebagai Kadi Pulau Pinang yang pertama yang mana beliau telah menjadikan rumah beralamat No. 69, Lebuh Acheh sebagai pejabat kadinya.
Kemudian pada 1917, Sheikh Zakaria telah menjadikan rumah kediamannya sebagai Madrasah al-Quran.
Selain daripada aspek sejarah dan latar belakangnya yang menarik, perkampungan Masjid Melayu Lebuh Acheh mempunyai warisan seni bina yang unik.
Masjid Melayu Lebuh Acheh yang dilengkapi dengan menara bersegi lapan, kolah wuduk, tandas, perigi, anjung dan kawasan makam yang mencerminkan gabungan pengaruh seni bina Moorish (seni bina yang berasal dari utara India), Cina dan Klasik


10 September, 2009

Masjid Kampung Laut, Kelantan

Masjid Kg Laut merupakan sebuah masjid yang terletak di jajahan Kota Bharu, Kelantan. Ia terletak di Nilam Puri berhadapan dengan Universiti Malaya, kampus cawangan Kelantan, iaitu 20 km dari pusat bandar Kota Bharu. Usia masjid ini dipercayai melebihi 300 tahun dan turut dikaitkan kedatangan Islam di Kepulauan Nusantara abad ke-17 Masihi. Selain diiktiraf sebagai masjid tertua di negara ini, Masjid Kampung Laut turut disenaraikan antara masjid paling "bersejarah" di Asia Tenggara, seangkatan dengan masjid Nat Tanjung dan Wadi Hussin di Thailand, Masjid Demak di Jawa, Indonesia dan Masjid Kono (Champa, Kemboja).

Sejarah 
Cerita lisan

Menurut cerita lisan tradisi, berabad-abad dahulu, para pendakwah belayar ke sepanjang kepulauan Melayu untuk menyebar agama Islam. Pada tahun 1730-an, sekumpulan pendakwah melalui pantai timur Semenanjung Malaysia dalam perjalanan mereka dari Patani di selatan Thailand ke Jawa di Indonesia. Malangnya perahu mereka bocor dan mengalami kesulitan. Para mubaligh dalam perahu itu bersumpah bahawa kalau mereka dibawa ke pantai dengan selamat, mereka akan membina sebuah masjid dengan serta merta untuk memperingati peristiwa itu. Doa mereka dikabulkan, dan para pendakwah mendarat di Kampung Laut, Tumpat.

Binaan masjid

Masjid yang asal bukannya apa yang dilihat pada hari ini. Ia merupakan sebuah struktur asas dengan hanya empat tiang yang menyangga bumbung tiga tingkat yang diperbuat daripada daun rumbia. Keluasanya hanya 400 kaki persegi pada keseluruhannya. Pada akhir abad ke-19, masjid ini menjadi satu pusat agama yang penting, dan masjid itu diperbesar untuk merangkumi bilik sembahyang tambahan, peran, serambi, dan menara. 20 batang tiang dibina untuk menyangga binaan tambahan ini. Binaan tambahan ini menggunakan teknik 'Tebuk-Pasak' yang amat unik. Ia dibina daripada kayu tetapi tidak menggunakan walau sepucuk paku sekalipun. Atap daun rumbianya digantikan dengan atap genting.

Malangnya, asas masjid itu lemah. Dibina di tebing sungai, masjid itu sering dilanda oleh banjir kilat seperti banjir tahun 1926 yang dikenali sebagai "Bah Air Merah" yang melemahkan lagi asasnya. Selepas dilanda sekali lagi oleh banjir yang teruk pada tahun 1966 yang menghanyutkan sebahagian masjid itu, Persatuan Sejarah Malaysia mencadangkan pemindahan masjid itu ke tempat yang lebih selamat. Pada tahun 1968, masjid itu dibuka dan dipasang semula di kawasan Sekolah Pengajian Islam di Nilam Puri.

Pada tahun 1988, masjid ini diperbaik lagi dengan kemudahan-kemudahan moden seperti elektrik, air paip, tandas, dan kawasan duduk. Tiang-tiang dan dinding-dinding masjid juga dihias dengan ukiran kayu. Dengan tambahan-tambahan ini, kawasan binaan menjadi 5,254 kaki persegi (74 kaki x 71 kaki), iaitu 13 kali lebih besar daripada masjid asal.

Masjid Kampung Laut kini masih merupakan pusat agama yang aktif dan telah dianggap sebagai salah satu muzium yang paling penting di Semenanjung Malaysia.