05 Mei, 2010

Chong Wei rayu jangan maki hamun

KUALA LUMPUR - Sepuluh tahun lalu, ketika Malaysia kalah teruk dalam Kejohanan Piala Thomas di tempat sendiri, Datuk Lee Chong Wei duduk di kelilingi para penonton yang marah. Mereka menghamburkan kata-kata kesat terhadap skuad kebangsaan.




Selepas 10 tahun berlalu, kini tiba giliran Chong Wei pula mengambil alih tugas berat yang pernah digalas rakan-rakan senior, malah tanggungjawabnya lebih berat kerana bertindak sebagai perseorangan pertama.
Menjadikan memori hitam 10 tahun lalu semakin menebal, Chong Wei bakal beraksi di gelanggang yang sama yang menyaksikan Malaysia tersingkir di peringkat kumpulan pada Piala Thomas 2000 - Stadium Putra, Bukit Jalil.

Pasukan negara, yang diketuai Wong Choong Hann dan beregu Choong Tan Fook-Lee Wan Wah ketika itu kalah 2-3 kepada Denmark dan Korea Selatan dalam saingan Kumpulan A.

Chong Wei mengakui, memori hitam 2000 tidak pernah terpadam dari ingatannya, namun ia tidak sesekali membuatkannya gentar apabila turun ke gelanggang yang sama pada 9-16 Mei ini.

"Ketika kali terakhir Piala Thomas diadakan di Malaysia, saya berada dalam skuad remaja. Saya masih ingat bagaimana penonton marah-marah selepas kita gagal melayakkan diri ke separuh akhir.

"Gerun juga kalau diingat kembali keadaan ketika itu, tetapi saya harap perkara tersebut tidak berulang lagi. Saya rayu rakyat Malaysia, sokonglah pasukan negara tidak kira ketika kami menang atau kalah.
"Untuk saya dan rakan-rakan, kami berjanji akan memberi yang terbaik dan termampu. Saya juga seperti anda semua, kalau boleh kami mahu menang dan kami akan cuba mencari keputusan membanggakan,'' kata Chong Wei selepas menghadiri sesi makan tengah hari bersama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek di Bukit Kiara, semalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan