1. MENURUNKAN BERAT BADAN.
Jika anda mengalami berat badan yang berlebihan, air limau nipis yang anda minum boleh menurunkan berat badan anda.· Caranya : sediakan dua biji limau nipis atau limau kasturi setiap hari, setelah itu perah airnya ke dalam gelas yang berisi dengan air sejuk, masukkan ke dalam peti sejuk. Setelah itu bolehlah dijadikan air mnuman setiap kali selepas anda makan tengah hari dan makan malam.Cara ini boleh diikuti dengan senaman ringan. Amalkan meminumnya selama sebulan, berat badan anda akan beransur turun.
2. ELAK KENCING MALAM UNTUK ANAK KECIL
Perahkan sedikit air lemon di atas sesudu kecl madu lebah dan terus hirup. Amalkannya disebelah pagi dan sebelum masuk tidur. Mudah-mudahan, anak kecil anda akan berhenti kencing malam atau setidak-tidaknya dapat mengurangkan jumlah dia buang air kecil.
3. TEPUNG UBI PENAWAR RUAM
Cara yang baik untuk menghindarkan ruam dari tubuh bayi anda ialah dengan melumurkan tepung ubi selepas mandi. Pastikan bahagian-bahagian utama yang menjadi sasaran serangan ruam seperti di leher, punggung dan dada di lumur.
4. UBATI SAKIT DADA
Ambil beberapa ulas halia. Tumbuk hingga lumat dan perahkan airnya. Ambil satu biji telur ayam kampung. Keluarkan kuningnya sahaja. Campurkan bersama madu lebah tulin. Kacau rata-rata dan minum setiap pagi sebelum sarapan.
5. HILANGKAN URAT DI KAKI
Bagi ibu-ibu yang mengandung mereka sering mengalami masalah urat timbul di kaki dan ia berlarutan hingga bersalin. Di sini, ada satu petua untuk mengatasi maalah ini, ketika tidur anda mesti meletakkan kaki lebih tinggi dari kepala. Atau ambil sebesen air suam, rendamkan kaki anda selama 15 hingga 20 minit setiap hari. Lakukan hingga anda memperolehi hasil yang memuaskan. Atau, anda boleh mengurutnya perlahan-lahan dengan menggunakan minyak urut.
6. RASA GARAM DALAM MASAKAN
Untuk merasa garam dalam masakan memang menjadi masalah terutama jika anda berpuasa. Bagaimana cara terbaik untuk mengatasi masalah ini dengan meletakkan kuah di atas jari anda. Jika kuah itu tidak meleleh ia menandakan masakan anda cukup masin tetapi jika jari anda merasa perit ini menandakan masakan anda terlebih garam.
7. SIMPAN KELAPA PARUT
Masukkan kelapa dalam tapisan. Letakkan di atas periuk yang berisi air panas. Biarkan wap itu masuk ke dalam kelapa.
8. MENGHILANGKAN KEDUT
Wanita yang sudah berumur biasanya sangat takut kelihatan tua. Terutamanya di bahagian muka, kerana muka adalah bahagian yang mula-mula menjdi tumpuan pandangan seseorang. Bagaimanakah caranya untuk menghilangkan kedut-kedut yang mula berjinak-jinak di muka anda? Sebenarnya tidak sukar menghilangkan kedut-kedut di muka asalkan anda rajin melakukannya. Ambillah sebiji lobak merah. Parut hingga hancur. Kemudian ambil satu sudu tepung jagung dan sebiji kuning telur. Campurkan semua ramuan itu dan kacau hingga sebati. Sapukan di tempat yang berkedut itu. Biarkan selama 20 minit, barulah dibasuh dengan air bersih. Lakukan selalu, Insya-Allah wajah anda kelihatan berseri dan kedut-kedut yang mula bertapak itu akan menghilang.
9. PENYERI MUKA
Selain dari menghilangkan kedut di muka, ada juga amalan yang boleh dilakukan supaya muka akan sentiasa kelihatan berseri. Caranya ialah, cuci muka setiap pagi dengan daun teh yang sudah direndam. Sapukan the tersebut ke muka, sepuluh minit kemudian basuhlah dengan air bersih. Ataupun anda sapukan muka dengan putih telur. Biarkan selama sepuluh minit. Kemudian bersihkan dengan air. Lakukan begitu seminggu sekali. Anda akan nampak keberkesanannya.
10. GARAM UBATI SAKIT GIGI
Sakit gigi memang amat menyeksakan.Apa lagi kalau terkena di tegah malam. Hendak ke klinik mungkin klinik tutup. Jadi anda terpaksa menanggung sakit sampai ke pagi. Kerana itu berikhtiarlah sebelum sakit gigi menimpa anda. Petua ini elok dilakukan bagi menghindar dari terkena sakit gigi. Caranya, campurkan sedikit garam halus pada ubat gigi apabila hendak menggosok gigi setiap pagi. Jika ini diamalkan, anda bukan sahaja dapat menghindarkan diri dari sakit gigi dan mulut, malah gigi anda juga akan menjadi lebih putih dan berseri.
11. MULUT BERBAU
Mulut berbau tentu menimbulkan masalah apabila hendak bercakap dengan seseorang. Untuk mengatasinya, cuba ikut petua ini. Ambil tujuh helai daun sirih. Racik halus, kemudian diramas dengan semangkuk air suam. Campurkan sedikit garam, kumurlah setiap hari dengan air itu. Insya-Allah masalah mulut berbau akan dapat diatasi.
12. IKAN KERING TIDAK BERULAT
Benda-benda busuk selalu dihinggapi lalt termasuk ikan kering. Keadaan ini menyebabkan ia mudah berulat. Untuk mencegahnya, jemurkan ikan di tempat panas, taburkan sedikit serbuk lada hitam yang telah ditumbuk kasar ke atasnya. Cara ini lalat tidak akan hinggap lagi.
13. TUMIT KAKI TIDAK PECAH
Bagi anda yang menghadapi masalah ini, boleh mencuba petua ini. Ambil sebiji buah betik yang masih muda. Hiriskan di bahagian hujungnya agar mengeluarkan getah. Sapukan getah betik tersebut ke bahagian tumit yang pecah. Lakukan berulang kali beberapa hari jika ingin mendapat hasil yang memuaskan.
14. KEKALKAN KEPUTIHAN PERIUK
Jika anda masak menggunakan dapur kayu atau arang, tentu anda menghadapi masalah periuk hitam dan sukar dibersihkan. Bagi mengatasi masalah ini, sebelum memasak, sapukan dahulu bahagian luar periuk anda pencuci pinggan seperti Axion. Setelah siap masak, cucilah periuk dengan penggosok. Insya-Allah kotoran dan kesan hitam akan mudah dihilangkan.
15. HILANGKAN DARAH TINGGI
Jika anda menghidap sakit darah tinggi,ambillah daun kucai kira-kira seikat. Bersihkan dan tumbuk dengan sedikit garam. Perah ambil airnya, bubuh dalam mangkuk dan embunkan. Minumlah pagi-pagi sebelum makan apa-apa, Insya-Allah sembuh. Kalau sekali minum tidak sembuh, jangan berputus asa. Cuba dan cuba lagi. Selalunya penyakit tidak akan sembuh dengan sekali berubat. Kerana itu cubalah amalkan banyak kali, bersabar dan bertawakal.
16. KHASIAT DAUN JAMBU BATU
Kalau anda terkena sakit perut, buang-buang air, perut kembung, masuk angin dan citir-birit, ambillah beberapa helai daun jambu batu yang masih muda (pucuknya). Mamah daun jambu batu itu dengan garam lalu airnya ditelan. Atau daun jambu biasa yang masih muda dimamah halus dan ditelan. Insya-Allah mujarab dan sakit perut anda akan hilang dengan sendirinya.
17. CARA CUCI BARANGAN PERAK
Campurkan perahan air limau dan garam dalam semangkuk air dan cucikan barangan perak anda. Hasilnya ia lebih berkilat.
18. HILANGKAN BAU DAN PENING MAKAN DURIAN
Biasanya selepas anda nemikmati buah durian, mulut atau sendawa anda akan berbau. Dan pada sesetengah orang pula dia akan terasa mual, pening atau mabuk.Untuk mengelakkan semua ini ambillah pangsa durian tadi dan curahkan sedikit air di dalamnya. Ratakan air itu dan minumnya. Insya-Allah semuanya beres.
19. UBAT GIGI PENAWAR KULIT MELECUR
Cara yang paling mudah mengubati kulit yang melecur ialah dengan menyapu ubat gigi ke atas kulit berkenaan sebaik ianya terkena.
20. MINYAK TANAH HILANGKAN KUTU
Satu lagi petua mudah untuk menghilangkan kutu kepala ialah dengan melumurkan sedikit minyak tanah di serata kepala. Kemudian balut kepala dengan kain lembab. Biarkan selama dua atau tiga jam. Anda akan lihat kemudiannya kutu-kutu melekat pada tuala itu dan kepala anda bebas daripadanya.
21. ARANG KAYU PERAPI RAMBUT
Percayakah kayu arang dari batang getah boleh menghitam dan mengilatkan rambut. Caranya, keringkan arang itu beberapa hari kemudian tumbuk sehingga lumat. Selepas itu, campurkan dengan minyak kelapa. Lumurkan ramuan itu pada rambut setiap hari dan cucilah. Lakukan sekerap yang boleh.
22. PENAWAR BISUL/KUDIS
Ambil segenggam daun sengkuri. Petik daun muda dan keringkan sebentar, kemudian baru digiling dengan tujuhbiji mata kunyit serta sedikit melukut. Kemudian calitkan sedkit kapur sirih dan sapukan daun yang digiling tadi di atasnya. Sementara untuk menghilangkan bengkak bisul dan bissanya, sapukan cuka dan nila. Petua ini juga boleh menawarkan sakit beguk di leher. Bagi kudis pula, rebus antara 30 helai pucuk daun jambu batudengan dua gelas air. Campurkan secamca garam. Bila mendidih, biarkan ianya suam dan cucilah kudis atau gatal-gatal berkenaaan.
23. CARA HILANGKAN GRIS
Minyak gris biasanya sukar ditanggalkan jika terkena pakaian. Tetapi ada petua untuk menghilangkannya. Cuab titiskan secamca minyak tanah dan kemudian sapukan rata-rata sedikit sabun serbuk atau buku. Biar seketika dan kemudian sental kuat-kuat. Ulangi beberapa kali sehingga kesannya hilang.
24. PETUA SUBURKAN POKOK BUNGA
Taburkan sedikit serbuk kopi di sekeliling pangkal pokok bunga anda. Hasilnya, anda akan lihat pokok bunga subur menghijau.
25. PUTIH TELUR PENGHILANG PARUT
Jika pada tubuh anda terdapat bekas luka ataupun parut yang tidak mahu hilang, cubalah gunakan putih telur ayam kampung. Setiap kali hendak tidur, sapukan putih telur tersebut pada parut luka itu. Lakukan secara terus-menerus. Nescaya parut luka anda akan hilang.
26. BILA NASI BERBAU HANGIT
Kadang-kadang kerana kelalaian kita, nasi yang dimasak boleh menjadi hangus dan berbau hangit. Kerana itu anda jangan susah hati, cubalah cepat-cepat ambil pucuk daun pisang, masukkan ke dalam nasi tersebut dan tutup semula rapat-rapat. Insya-Allah bau hangit akan berkurangan.
(25/1/08 - Ini mlm tadi isteri dah cuba, bubur bau hangin, so letak daun pisang, bau hilang)
27. UBAT DEMAM MALARIA
Daun betik yang masih muda ditumbuk hingga haluslau diperah. Air perahan ini bolehlah diminum sebagai ubat demam malaria. Selain itu, ia juga boleh diminum setelah selesai haid. Kerana ia boleh melancar dan membersihkan sisa-sisa darah kotor.
28. MENGHILANGKAN GATAL-GATAL
Ada cara mudah untuk menghilangkan kegatalan akibat peluh yang mengancam seluruh tubuh kita. Ambil sesudu makan tepung sagu dan campurkan dengan sedikit air. Titiskan cuka sebanyak empat titis. Setelah dikacau, sapukan bahan itu pada bahagian yang gatal. Lakukan setiap hari sehingga bintik-bintik gatal akibat peluh itu hilang dari tubuh anda.
29. MENGHILANGKAN BAU PEDAS (CILI TUMIS)
Memasak sambal tumis atau asam pedas, anda tentu terpaksa menumis cili boh atau cili giling. Apabila cili ditumis, anda tentu dapat rasakan mata dan hidung menjadi pedih dan berair. Seluruh ruang dapur malah seluruh rumah akan mendapat akibatnya. Untuk menghindarkannya, cubalah masukkan gula pasir ke dalam minyak penggoreng yang telah panas itu. Kemudian barulah menumis bawang dan cili tersebut. Insya-Allah, bau pedasdan cili tumis itu tidak akan mengganggu anda sekeluarga.
30. BINTIK-BINTIK MERAH DI BADAN
Kadang-kadang tanpa anda sedari, tubuh badan anda terkena bintik-bintik merah. Mungkon ini disebabkan terkena bisa serangga atau ulat bulu yang menyebabkan gatal-gatal atau pedih. Sekiranya anda mengalami keadaan demikian, janganlah panik. Ambillah sepotong kunyit, parut kunyit itu dan bubuh kapur sirih serta air. Panaskan ramuian tersebut di atas api, kemudian sejukkan. Setelah sejuk sapukan di bahagian bengkak-bengkak itu. Insya-Allah dalam waktu 5 minit penyakit tersebut akan hilang.
31. ELAK DARI MELECUR
Apabila bahagian tubuh anda tersiram air panas terutama yang sedang mendidih, cepatlah ambil sabun. Tidak kira sabun batang, serbuk atau sabun mandi. Gosoklah bahagian yang terkena air mendidih tadi dengan air sabun secara perlahan-lahan tetapi terus-menerus tidak berhenti. Hinggalah bahagian yang tersiram air panas itu tidak merasa panas lagi. Dengan cara itu, bahagian yang tersiram air panas itu tidak melepuh dan akan segera sembuh.
32. BEDAK LANCARKAN ZIP ROSAK
Zip yang rosak tidak bermakna barang tersebut sama ada beg, kasur atau seluar anda tidak boleh dipakai lagi. Ada cara paling mudah untuk membaiki dengan cara, taburkan bedak di atasnya lalu anda getak-gerakkan beberapa kali sehingga zip itu lancar semula.
33. BAGAIMANA SEGARKAN TAUGE
Tauge akan lebih lama segar di dalam peti sejuk sekiranya anda memerahkan sedikit limau ke dalam air tempat anda merendamnya. Tetapi pastikan anda menukar airnya setiap hari.
34. HILANGKAN DEBU DARI BUNGA
Biasanya bunga-bunga hiasan di ruang tamu akan diselubungi debu. Untuk mencucinya mungkin mustahil sama sekali. Tetapi cuba anda gunakan pengering rambut anda. Semburkan hembusannya ke arah bunga-bunga itu, dan mudah-mudahan semua debu akan diterbangkan.
35. CARA SUPAYA KEJU TAHAN LAMA
Kalau anda tidak mempunyai peti sejuk, cara untuk menyimpan keju ialah dengan membungkus keju itu kejap-kejap (rapat-rapat) dalam sehelai kain bersih yang dilembabkan denga air garam terlebih dahulu.
36. GULA UBAT LUKA
Jika bibir anda luka dan berdarah kerana terhantuk pada sesuatu benda keras, anda jangan panik. Ambil sedikit gula dan sapukan pada bibir yang berdarah. Anda akan dapati darah itu akan berhenti dengan segera.
37. PANAS TERKENA CILI
Kerana banyak memasak menggunakan cili boleh menyebabkan tangan dan jari-jari anda berasa panas memijar. uNtuk menghilangkannya mudah sahaja. Ambil setengah gelas air. Bubuh dua sudu makan garam dan kacau. Setelah garam hancur, gosokkan air pada tangan yang pijat itu. Kemudian hangatkan di depan api. Bersihkan tangan dengan air sejuk menggunakan sabun. Insya-Allah rasa panas dan pijar akan hilang.
38. MENGHILANGKAN BISUL
Apabila anda sering terkena bisul, jangan dibiarkan begitu sahaja hingga ia membesar yang bukan sahaja sakit malah akan sukar mengubatinya. Kerana itu bila anda sedar akan terkena bisul, cepat-cepat ambil bawang putih. Gosoklah bisul anda dengan bawang putih. Berkat air bawang putih yang berbau tengik itu, bisuk anda tidak sempat membesar akhirnya akan mengempis tanpa meninggalkan kesan parut.
39. TERKENA BISA IKAN KELI
Ikan keli (darat) atau ikan keli sembilang (laut) kedua-duanya mempunyai sengat berupa duri di sirip kiri kanannya. Sengat ini sungguh bisa apabila terkena manusia, sebab itu hendak menangkapnya terpaksa berhati-hati. Walaupun berhati-hati kadang-kadang terkena juga. Kalau ini berlaku kepada anda, lekas-lekaslah ambil dua hingga tiga sudu makan serbuk kopi, tuangkan sedikit air setengah mendidih, kacau hingga sebati. Wapkan bahagian yang terkena sengatan itu, Insya-Allah bengkaknya hilang dan sakitnya segera sembuh.
40. BAWANG PUTIH HILANGKAN SAKIT KEPALA
Jika anda sakit kepala, cubalah petua ini untuk mengatasinya. Ambil seulas bawang putih dan dibelah dua. Kemudian tampalkan di sebelah kir dan kanan kepala seperti menampal plaster. Biarkan sehingga sakit kepala hilang, lakukanlah berulang kali jika anda sering sakit kepala, dengan cara ini lama-kelamaan sakit kepala akan hilang.
41. LIMAU WANGIKAN RAMBUT
Ambil beberapa biji limau nipis dan hiris-hiriskan. Kemudian gosokan ke seluruh kepala. Biarkan beberapa minit dan selepas itu cuci bersih-bersih. Selain daripada mewangikan rambut, limau nipis juga boleh menghilangkan rasa pening dan menyejukkan kepala.
42. KHASIAT AIR BERAS
Air buangan mencuci beras banyak faedahnya. Cuba gunakan air itu untuk mencuci muka sebab hasilnya muka anda lebih bersih dan bebas dari minyak. Pastikan, bilas dengan air bersih selepas mencuci dengan air beras tadi. Air beras juga boleh digunakan untuk menyiram pokok bunga ini akan menyuburkan lagi pokok bunga dan melebatkan bunga.
43. RAWATAN LEPAS BERSALIN
Cara yang paling berkesan untuk merawat perut selepas anda bersalin ialah dengan memarut dua ketul halia sederhana besar, campurkan dua sudu cuka. Gaul ramuan ini dan sapukan ke sekeliling pinggang. Cara begini akan mengelakkan pecah-pecah dan calar pada kulit perut. Selepas ramuan ini disapu, lilitkan bengkung seperti biasa sebagai satu rawatan menegangkan semula perut selepas anda bersalin.
44. UBAT SAKIT MATA
Masalah sakit mata seperti mata berair, warna mata kemerahan, jangkitan kuman dapat diatasi dengan menggunakan madu lebah. Caranya mudah sahaja. Cucilah mata anda dengan air, kemudian sapu atau titskan beberapa titik madu ke mata. Kemudian pejamkan mata anda selama 5 minit. Kemudian cuci mata anda, lakukan 2 atau 3 kali sehari. Insya-Allah mata anda akan pulih sediakala.
45. TAK PEDIHKAN MATA
Setiap kali menghiris bawang merah, pasti mata pedih dan berair. Bagi mengatasi masalah itu, selepas kulitnya dikupas, rendamkan dahulu dengan air garam kira-kira sepuluh minit. Kemudian barulah dihiris-hiris.
46. RAMBUT HITAM BERKILAT
Ambil kangkung kemudian diramas dengan sedikit air hingga hancur dan berlendir. Kemudian sapukan pada rambut dan bungkus dengan tuala. Biarkan selama satu jam. Bilas bersih-bersih. Lakukan dua kali dalam seminggu. Selamat mencuba.
47. DAUN NANGKA EMPUKKAN DAGING
Daging liat? Mudah empuk jika anda memasukkan beberapa daun nangka ke dalam rebusan daging anda.
48. HILANGKAN PAHIT PUCUK BETIK
Pucuk betik memang enak jika dicelur dan dijadikan hidangan dengan sambal belacan. Tetapi ada ketikanya daun betk yang diambil itu pahit. Untuk mrnghilangkannya, cuba anda masukkan beberapa helai daun jambu batu atau dua tiga biji buah pinang masak ketika merebusnya.
49. SUBURKAN POKOK BUNGA
Satu lagi cara untuk menyuburkan pokok bunga ialah dengan mengambil seberapa banyak serbuk kayu. Campurkan bersama tanah dan gaul rata. Kemudian bolehlah ditanam di samping menyiramnya selalu.
50. BAYAM UBAT BANYAK PENYAKIT
Bayam mengandungi banyak zat yang diperlukan oleh tubuh badan. Ia mengandungi protein, selulus, karotin, vitamin B1, B2 dan C, asid oxalic, kalsium, fosforus dan kandungan zat besi yang banyak. Rasanya agak manis dan sejuk. Kerana kandungan zat besi yang tinggi, ia boleh menyembuhkan penyakit kurang darah (anaemia), meredakan tekanan darah tinggi dan sembelit. Ia juga boleh membantu penghadaman.
51. KACANG TANAH RENDAHKAN TEKANAN DARAH
Kacang tanah kaya dengan kandungan lemak, vitamin A, B, E dan K, lecithin, choline, asid omino, kalsium dan sebagainya. Minyak kacang tanah merendahkan tekanan darah tinggi dan kolestrol darah. Selaput lendirnya mengandungi ramuan yang lebih berkesan. Kandungan zat dalam kacang tanah ini juga baik untuk mengubati penyakit susah tidur (insomnia).
52. PENAWAR BISA LIPAN/LEBAH
Apabila seseorang disengat lipan atau lebah, kesakitannya bukan sahaja terasa di bahagian yang disengatnya, malah seluruh badan hingga ke rambutpun terasa sakitnya. Untuk mengubati bisa sengatan itu, segeralah ambil biji asam jawa. Biji asam itu ditumbuk sampai halus, tempelkan pada bahagian yang disengat. Insya-Allah dalam beberapa saat sahaja, rasa sakit akan hilang.
53. MEREDAKAN BENJOL
Sekiranya kepala anda terkena pukulan benda keras seperti batu, kayu dan sebagainya hingga membenjol, segeralah ambil asam jawa dan garam secukupnya. Masukkan air dan kacau hingga kedua-dua bahan itu larut dalam air dan pekat. Sapukanlah air larutan asam dan garam itu ke bahagian yang benjol. Insya-Allah dalam masa 15 minit, benjolan itu akan mengecil dan mengempis, kemudian hilang sama sekali dari kepala anda.
54. BATUK
Banyak cara mengubat penyakit batuk. Antaranya ialah : ambil seperempat biji buah pala, setengah biji limau nipis dan satu sudu kecil minyak kayu putih. buah pala diparut, limau nipis diperah ambil airnya. Campurkan kedua-dua bahan itu menjadi satu dengan dicampurkan minyak kayu putih. setelah itu gosoklah dibelakang pesakit. Ramuan ini hanya untuk sekali pakai. Lakukan rawatan seperti ini dua kali sehari selama tiga hari berturut-turut. Insya-Allah, penyakit batu akan segera sembuh.
55. BATUK BERTERUSAN
Penghidap penyakit batuk boleh menyebabkan badannya menjadi kurus. Baruk sering melanda di sebelah malam, sehingga pesakit tidak dapat tidur lena. Kalau berlanjutan, sisi rumah turut terganggu. Kalau keadaan seperti ini mengganggu diri anda, ubatilah dengan daun lidah buaya (ambil isinya sahaja), dihiris halus-halus kira-kira 20gm, kemudian dibubuh madu kira-kira 40cc. Ramuan ini diberi minum dua kali sehari selama lebih kurang tujuh hari.
Penderita perlu berpantang seperti berikut:
· Jangan terlalu banyak makan makanan manis
· Jangan tidur tidak menentu (jangan kurang tidur)
· Jangan masukkan jari ke dalam mulut (seperti kebiasaan kanak-kanak)
· Jangan makan banyak mekanan pedas
· Perbanyakkan gizi (zat) dalam makanan seharian.
56. PENAWAR PENGSAN
Sekiranya anda terjumpa seseorang yang pengsan atau tidak sedarkan diri, segeralah ambil air segelas dan bacakan ‘Ayat Kursi’ sebanyak sebelas kali. Sapukan air itu ke muka. Kepala dan badannya. Kemudian tiup pada telinganya sambil menyebut namanya (jika tahu namanya). Buatlah dengan tenang dan penuh sabar. Insya-Allah, dia akan sedar dari pengsannya.
57. BENGKAK BUAH DADA
Khusus bagi wanita, sekiranya selalu terasa sakit atau bengkak di pangkal buah dada, atasilah dengan petua ini. Ambil kayu atau teras pokok sepang. Asahkan dengan sedikit air. Campurkan sedikit kapur sirih. Sapulah ramuan tersebut berulang kali. Seelok-eloknya dilakukan pada waktu malam.
58. BENGKAK DI BAWAH TELINGA
Penyakit ini sebenarnya bermusim dan mudah berjangkit. Jika ada di antara keluarga anda terkena penyakit nin, segeralah cari kayu sepang. Asahlah dengan mencampur sedikit kapur sirih. Sapukan pada keliling telinga. Atau Ambil sedikit nila dan cuka makan. Campurkan kedua-dua bahan itu dan sapu di sekeliling telinga yang bengkak. Insya-Allah, bengkak tersebut akan beransur hilang.
59. MENCANTIKKAN BETIS
Setiap orang khususnya wanita, tentu inginkan betis yang cantik, halus dan licin. Caranya mudah sahaja. Sapukan setiap pagi selepas mandi dengan minyak rambut atau minyak kelapa dan urutkan perlahan-lahan.
Setelah lakukan demikian, betis anda akan kelihatan halus dan mulus. Anda tidak perlu membuang duit untuk membeli minyak untuk bayi atau losyen. Selain itu anda boleh juga mengurut betis anda dua atau tiga hari sekali dengan menggunakan hampas kelapa yang telah diperah santannya. Setelah itu urutlah lagi dengan air hingga menjadi bersih.
60. URAT BETIS MENONJOL
Selalunya wanita hamil akan mengalami keadaan di mana urat betisnya akan menonjol, dan akan berterusan hingga sesudah bersalin. Ambillah segenggam kacang hijau, rebus dengan air bersih tanpa mencampur dengan suatu apa pun (tanpa gula, garam atau apa-apa ramuan lagi). Rebuslah sampai mendidih. Sebelum kacang hijau itu pecah-pecah kulitnya, dan air rebusan tinggal segelas, angkatlah dari api. Minumlah air rebusan kacang itu bersama kacangnya setiap pagi dan malam sebelum tidur. Menjelang tidur, angkatlah kaki anda ke atas setinggi mungkin dengan bantuan alat selama lebih kurang 10 minit. Lakukan setiap malam menjelang tidur. Insya-Allah, urta betis anda kembali semula seperti biasa.
61. RAMBUT SELALU GUGUR
Bagi mengatasi rambut selalu gugur, ambil lendir daun lidah buaya, lendir pokok bunga raya dan lendir pokok litup bumi. Semuanya dimasukkan dalam satu bekas. Kemudian campur sedikit minyak zaitun. Sapulah di seluruh rambut lepas mandi malam dan bungkus kepala dengan tuala selama setengah jam. Bangun pagi barulah dicuci. Amalkan seminggu sekali. Selain rambut tidak gugur, rambut juga lambat beruban.
62. ANAK SELALU KENCING MALAM
Jika ada anak anda berumur 5 tahun ke atas masih lagi kencing malam, cubalah ambil tembakau sebesar ibu jari dan campurkan sedikit kapur sireh, kemudian letakkan di pusatnya. Lakukan sewaktu hendak tidur malam dan ikatkan dengan kain. Buatlah selama
63. KURANGKAN BAU CAT PADA DINDING
Dinding yang baru dicat terutamanya dalam bilik boleh mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan. Apa kata letakkan sebesen air yang dicampur garam di dalam bilik itu dan biarkan ia semalaman di situ. Bau cat yang kurang menyenangkan itu, akan hilang perlahan-lahan.
64. HILANGKAN KESAN LEBAM BAWAH MATA
Bagi mereka yang memakai cermin mata, sudah tentunya di bawah mata akan kelihatan kasar dan hitam serta ada kesan lebam. Untuk mengembalikan kelembutan kulit pada bahagian itu, mudah saja. Ambil sedikit minyak sapi dan sapukan pada bawah mata perlahan-lahan bermula dari kanan ke kiri. Kemudian biarkan 10 hingga 15 minit. Lakukannya pada sebelah malam sebelim hendak tidur. Tetapi ingat, selepas tempoh itu, bersihkan semula muka anda kesan positif beberapa hari kemudian.
65. ATASI MASALAH BULU KETIAK
Ada banyak cara tradisional boleh digunakan untuk menghilangkan bulu ketiak. Antara yang paling mudah dan berkesan ialah menggunakan bahan seperti kapur sirih dan kunyit hidup. Caranya, cabut semua bulu ketiak, selepas itu celupkan ibu kunyit ke dalam kapur sirih dan gosokkannya hingga rata selama beberapa minit. Kemudian bilas semula dengan air bersih. Lakukannya selama beberapa kali hingga masalah anda itu selesai. Petua ini juga sangat bagus dicuba oleh anak perempuan dan lelaki yang masih belum tumbuh bulu ketiak bagi menghalangnya daripada tumbuh.
66. DAUN PERIA UBAT KURAP
Jika ada antara pembaca yang dihinggapi kurap, ini ada petua mudah menyembuhkannya. Ambil beberapa helai daun peria dan cuci hingga bersih. Kemudian ramas-ramaskan daun itu dan gosokkan pada badan atau bahagian tubuh yang dijangkiti kurap itu. Lakukannya berulang-ulang kali pastinya kurap di tubuh anda akan sembuh sepenuhnya.
67. MEMBENTUK BULU KENING ANAK
Bagi ibu yang gemar melihat anak-anak mereka memiliki bulu kening hitam dan lebat. Ambil setangkai daun sirih, kemudian patahkan tangkai dari daunnya dan sapukan bahagian yang bergetah pada kening anak anda. Ambilkan setiap hari. Anda akan dapati tidak berapa lama selepas itu, kening anak anda menjadi lebat dan hitam menawan. Bagaimanapun, petua ini hanya sesuai diamalkan untuk bayi berumur hingga setahun saja. Bayi yang berusia lebih dari itu agak sukar sedikit.
68. HILANGKAN BINTIK MERAH KESAN CACAR AIR
Biasanya selepas sembuh daripada penyakit cacar air, kulit badan akan berbintik merah dan ia agak sukar menghilangkan parutnya. Cuba ambil beberapa jagung muda, bersih dan parut halus. Kemudian gosokkan pada parut dan bintik merah pada seluruh tubuh berkali-kali. Hasilnya pasti memuaskan hati.
69. RAMBUT HITAM LAMBAT BERUBAN
Ada petua mudah untuk mendapatkan rambut yang hitam berkilat dan juga lambat beruban terutamanya kalangan remaja hari ini. Apabila membancuh teh, hampasnya jangan terus dibuang. Setiap pagi, apabila mandi basahlah rambut anda gosok-gosokkan rambut anda dengan air rendaman hampas the tadi. Lakukan banyak kali. Selain rambut menjadi hitam berkilat dan lembut, ia juga membuatkan rambut anda lambat beruban.
70. MENYEMBUHKAN DEMAM
Petua ini hanya sesuai untuk mereka yang deman biasa. Ambil segenggam daun betik. Bersih dan tumbuk hingga halus dan kemudian saring airnya menggunakan sehelai kain bersih. Air pati daun betik itu hendaklah diminum. Insya Allah dalam tempoh 12 jam anda akan melihat perbezaannya. Jika demam tidak sembuh, jangan lupa berjumpa doktor.
71. KURANGKAN SAKIT GIGI
Sakit gigi amat menyakitkan. Ia membuatkan anda tidak tenang, cepat marah dan tidak boleh membuat kerja dengan selesa. Caranya, ambil setangkai bunga cengkih dan masukkannya ke dalam gigi yang berlubang. Biarkan beberapa ketika, sakit gigi anda akan berkurangan perlahan-lahan.
72. ASAM GELUGUR UBAT SAKIT TEKAK
Dewasa ini dalam keadaan cuaca yang tidak menentu, ramai yang menderita sakit tekak. Petua mudah menghilangkan sakit tekak, ambil beberapa keping asam gelugur, dibakar hingga hangus. Selepas itu, tumbuk dan gaulkan dengan sedikit air sirih. Kemudian sapukan pada bahagian tekak yang sakit. Insya- Allah sakit tekak anda akan cepat sembuh.
73. KAIN BATIK TIDAK LUNTUR
Untuk mengelak kain batik luntur dan pudar warnanya, ambil beberapa helai daun batik, kemudian rebus dengan setengah periuk air. Apabila air mendidih, angkat dan tuangkan ke dalam satu bekas. Masukkan kain batik dan rendam semalaman. Esoknya, cucilah seperti biasa dan jemur.
74. TOMATO, EPAL LICINKAN KULIT
Bagi mereka yang kulitnya berminyak, berjerawat ataupun mempunyai kesan parut, cubalah petua mudah ini. Parut sebiji epal atau sebiji tomato yang cukup masak. Kemudian gosoklah perlahan-lahan pada wajah dan leher. Kandungan gelatin pada tomato boleh menghilangkan kehitaman dan parut baru. Biarkan 20 minit, barulah dicuci wajah anda dengan air suam. Lakukan berulang-kali dan anda akan dapat hasil memuaskan.
75. RAMPING SEMULA JADI
Hendak kurus tanpa sebarang perbelanjaan? Cara paling senang ialah dengan mendisplinkan diri. Iaitu ketika suapan dikunyah 40 kali. Jangan sekali-kali makan berulamkan air. Petua ini sangat baik untuk mengelakkan perut buncit, selain dapat menghindarkan sakit pinggang.
76. WANGIKAN RAMBUT
Ambil air perahan 10 helai daun pandan wangi yang ditumbuk lumat. Kemudian sapukan pada seluruh rambut dan kulit kepala, pada sebelah petang. Biarkan beberapa jam dan cucilah rambut anda dengan air bersih sebelum tidur. Hasilnya rambut anda menjadi wangi dan mencegahnya daripada beruban.
77. HILANGKAN SAKIT GIGI
Sakit gigi membuatkan anda serba tidak kena dan mudah marah. Untuk menghilangkan rasa sakit gigi, cuba minum air rebusan kulit pokok dan daun pokok gajus. Atau ambil pucuk dan daun pokok cengkih lalu dikunyah-kunyah atau tumbukkan daun serai hingga hancur. Masukkan ke dalam air hangat dan tambah sedikit garam. Air serai ini hendaklah digunakan sebagai bahan kumur. Boleh juga ambil sedikit kapur sirih dan sapukan pada gigi yang sakit itu. Insya-Allah sakit gigi anda cepat hilang.
78. BENGKAK GUSI
· Gusi bengkak boleh diatasi dengan mencuba petua ini. Ambil 5 helai daun jarak, satu liter air bersih dan sesudu besar air kapur sirih. Rebuskan ramuan ini dan minum airnya.
· Petua kedua ialah dengan mengambil umbut nanas. Hancurkan dan campurkan sedikit garam halus. Tampalkan pada gusi yang bengkak.
79. GUSI BERDARAH
Ambil beberapa helai daun bacang dan masukkan ke dalam periuk berisi air. Campurkan beberapa helai daun inai. Kemudian rebuslah dan apabila airnya mendidih bubuhlah sedikit asam gelugur dan garam secukup rasa. Berkumurlah dengan air rebusan ini. Jika gusi anda luka, elok juga berkumur dengan air daun sirih.
80. PELEMBAB MUKA SEMULA JADI
Jika ingin berjimat dan tidak mahu membazirkan wang membeli pelembab muka, anda boleh menggunakan pelembab muka semula jadi. Ambil beberapa lebar daun kubis, sesudu madu lebah dan sedikit air. Kisarkan daun kubis sehingga halus dan gaulkan dengan kedua-dua bahan itu. Sapukan ke wajah hingga ke leher dan biarkan selama 20 minit. Cara menggunakan kapas lembab. Bersihkan dengan lembut. Pasti kulit anda akan sentiasa lembab dan tegang.
81. URUTAN WAJAH CARA BETUL
Muka akan tampak berminyak terutamanya selepas bangun daripada tidur. Sebenarnya, itulah masa sesuai untuk mengurut wajah. Gunakan jari telunjuk kedua-dua belah tangan. Mula letakkan kedua-duanya di bawah mulut (dagu). Pusingkan jari ke pipi, pipi ke hidung seterusnya ke bahagian dahi. Perlu diingat, jangan sesekali mengurutnya cara menurun kerana ia kan menpercepatkan proses kedutan di wajah. Buatlah setiap pagi disusuli dengan meminum air suam sebelum mengambil sarapan pagi.
82. SERI DAUN INAI
Inai bukan saja boleh digunakan untuk memerahkan jari dan rambut tetapi ada juga banyak kegunaannya. Untuk mendapatkan wajah yang cantik berseri membuatkan orang tidak jemu memandang gunakanlah khasiat inai. Sesungguhnya wajah jelita harus dimiliki oleh setiap orang terutamanya wanita. Caranya mudah saja. Dapatkan segengam daun inai yang agak tua dan rebus kira-kira tiga cawan air. Minumlah air rebusan ini sebanyak tiga kali seminggu. Insya-Allah wajah anda berseri.
83. KHASIAT KUNYIT MUDA
Mingkin tidak sesiapa pun menyangka, kunyit muda boleh menaikkan seri wajah seseorang. Unutk mencubanya, dapatkan kunyit muda yang segar, bersih dan potongkan nipis. Jadikan ia ulam sewaktu anda makan nasi. Sekiranya tidak biasa dengan baunya yang mentah, anda boleh mengambil ulam lain sebagai sampingan. Jika anda rajin mengamalkannya, wajah pasti akan berseri dan menawan
84. KEGUNAAN PUCUK JAMBU BATU
Jika anda ada masalah untuk menyembuhkan jerawat, gunakan cara tradisional untuk mengatasinya. Ambil beberapa helai pucuk jambu batu dan gilingkannya (atau ditumbuk) sehingga halus. Kemudian sapukannya pada bahagian yang ada jerawat. Pakailah selalu. Untuk menjadikan lebih mujarab, pakailah bersama-sama dengan bedak sejuk dan hasilnya tentu tidak mengecewakan.
85. CARA WANGIKAN ALMARI PEKAIAN
Daun pandan bukan saja menambah aroma dan keenakan nasi lemak dan juadah kuih-muih tradisional Melayu, tetapi ia juga boleh dijadikan bunga rampai dalam majlis pertunangan dan perkahwinan Melayu. Khusus bagi mereka yang inginkan almari pakaian sentiasa berbau harum menggunakan bahan yang murah dan bersih. Daun pandanlah jawapan terbaik.
· Caranya, ambil beberapa helai daun pandan yang sederhana tua, kerat-keratkan kepada lebih kurang tiga sentimeter panjang dan letakkannya di dalam almari pakaian anda. Tukar kepada daun pandan yang baru selepas tiga hari.
86. ELAK BISA PAKU BERKARAT
Apabila kaki anda luka kerana terpijak paku yang berkarat, segera cari bawang putih yang berdaun. Buang kulitnya dan celupkan ia ke dalam minyak dan panaskan seketika di atas api yang sederhana besar. Kemudian segera tampalkan bawang putih itu pada bahagian yang luka tadi dan tukar bawang putih dua kali sehari. Ia dengan segera membuang bisa karat yang melekat dalam daging kaki anda. Jika keadaannya tidak pulih dan terus berbisa, segera jumpa doktor.
87. MENURUNKAN TEKANAN DARAH TINGGI
Ada dua jenis bahan yang sangat baik dimakan untuk menurunkan tekanan darah tinggi.
· Pucuk dan bunga betik. Caranya ialah dengan mencelurkan pucuk dan bunga betik itu hingga masak dan dimakan. Ia boleh dibuat kerabu atau dimakan sengan sambal belacan. Rasanya memang sedikit pahit, tetapi amat baik untuk mengubati penyakit darah tinggi.
· Daun kucai. Bersihkan secekak daun kucai dan dengan sedikit gula batu, kisar tanpa menggunakan air. Ambil pekatan yang dihasilkan itu dan embunkan semalaman. Kemudian boleh diminum pada sebelah pagi dan sebelum makan. Daun kucai amat baik untuk mengurangkan tekanan darah tinggi seperti bunga dan pucuk betik tadi. Amalkan selalu, insya-Allah hasilnya sungguh memuaskan.
88. UBAT KENCING LAWAS
Bagi mereka yang menghadapi masalah kencing tidak lawas atau tanda-tanda awal ada penyakit batu karang, ambil beberapa biji lobak putih dan batang kangkung dengan akarnya sekali. Bersihkan kedua-dua bahan ini dan rebus pada kadar air yang sederhana banyaknya. Apabila sudah cukup masak, angkat dan biarkan air menjadi agak-agak suam, barulah diminum. Petua ini selain dapat melawaskan kencing, juga dapat memecahkan batu karang yang belum serius.
89. ATASI SAKIT TUMIT KAKI
Kebanyakan mereka yang sudah berusia, sering mengadu sakit pada bahagian tumit. Ia bukan saja menyukarkan anda berjalan tetapi juga apabila berdiri agak lama pada satu-satu tempat. Sediakan lebih kurang satu kilogram garam kasar dan goreng tanpa minyak di dalam kualai menggunakan api yang sederhana besar. Apabila semua garam mulai panas, angkat dan bungkus dalam kain bersih. Gunakan untuk menuam pada bahagian tumit anda yang sakit itu. Amalkan selalu, sakit tumit anda pasti berkurangan dan insya-Allah akan sembuh sepenuhnya.
90. MENGHILANGKAN PAHIT DAUN BETIK
Bagi anda yang suka makan daun betik sebagai ulam, anda boleh menghilangkan rasa pahit daun betik itu dengan mencampurkan daun senduduk ketika merebusnya.
91. UDANG SENTIASA SEGAR
Supaya udang tidak busuk dan sentiasa segar, perahkan air asam limau nipis ketika anda hendak menyimpannya dalam peti sejuk. Cara ini boleh menjadikan udang sentiasa segar dan tahan lebih lama.
92. MENCUCI TAPAK SETERIKA BERKARAT
Mencuci tapak seterika yang kotor ada caranya. Petuanya adalah dengan menabur sedikit garam halus ke atas kertas tisu, kemudian gosok pada tapak yang kotor tadi. Lakukan beberapa kali dan anda akan dapati kotorannya akan hilang.
93. KEBAIKAN KEPALA, TAHI IKAN BILIS
Campurkan kepala dan tahi ikan bilis ke dalam manakan ayam. Ia berzat dan berkhasiat untuk binatang. Jika direndam selama beberapa hari dan disiram pada pokok bunga, ia menyegarkan pokok.
94. SEGARKAN URAT SARAF DENGAN DAUN SERAI
Jika anda terlalu banyak kerja anda tentu berasa letih dan lesu, untuk mengembalikan kesegaran surat sarat anda boleh gunakan daun serai, daun pandan dan daun nangka yang direbus. Biarkan air tersebut menjadi suam kuku setelah itu bolehlah anda gunakan untuk mandian selama tiga hari. Anda akan dapati bahan yang letih lesu itu akan sembuh dan akan bertenaga kembali.
95. UBAT SAKIT BENGKAK TEKAK
Jika anda mengalami sakit tekak, memang sukar untuk menelan terutama makanan yang keras, untuk merawatnya, ambilkan air didih nasi sebanyak satu cawan, minumlah air didih nasi itu, lakukan cara ini beberapa kali sehingga rasa perit dan sakit kerongkong anda sembuh.
96. DAUN RAMBUTAN MERAWAT GATAL KULIT KEPALA
Daun rambutan juga boleh mengatasi masalah kulit kepala yang gatal, caranya masukkan daun rambutan dalam satu bekas yang berisi tiga gelas air, hancurkan daun rambutan , setelah itu perah dua biji limau nipis serta kacau hingga sebati. Selepas itu tapis air tadi, sapukan rata-rata biar ia menyerap pada kulit kepala. Sebaik-baiknya hendaklah amalkan dua minggu sekali.
97. SANTAN TIDAK PECAH MINYAK
Kebanyakan suri rumah terpaksa menunggu untuk mengacau santan apabila memasak kuah lemak atau kari. Bati memudahkan kerja, letakkan senduk di dalam periuk dan gunakan api yang kecil. Santan tidak akan pecah minyak.
98. ATASI SINKI TERSUMBAT
Cuba masukkan beberapa banyak aram kasar di dalam saluran sinki tersumbat. Selepas itu tuangkan air panas baru mendidih di dalam lubang sinki. Ulang beberapa kali hingga perjalanan air lancar semula.
99. IKAN TIDAK BUSUK
Bagi ibu bekerja, biasanya ikan dibeli untuk dua atau tiga hari dan disimpan di dalam peti sejuk. Namun adalanya bekalan electrik tiba-tiba terputus dan menyebabkan ikan jadi busuk. Jangan bimbang kerana masih ada cara untuk mencegahnya. Caranya, ambil ikan yang telah disiang dan dicuci bersih, gaulkan ikan ini dengan nasi sejuk dan sedikit garam. Nasi mestilah benar-benar sejuk kerana nasi yang panas atau suam akan menyebabkan ikan busuk. Esoknya basuh ikan itu seperti biasa.
100. SAYUR DICELUR TETAP SEGAR
Campurkan sedikit minyak masak ke dalam periuk berisi air rebusan. Setelah sayur-sayuran dicelur, toskan airnya. Hasilnya sayu-sayuran ini akan nampak segar dan berkilat.
101. TEMBIKAI TAHAN LAMA
Tembikai mudah layu dan busuk jika disimpan lama. Bagi mengelakkannya, sapukan kapur makan di pangkal tembikai. Insya-Allah, tembikai tidak mudah busuk dan tahan lama.
102. MENGHILANGKAN BAU TANDAS
Hampas kopi jangan dibuang kerana ada kegunaannya. Ia dapat menghilangkan bau tandas. Caranya ialah masukkan hampas kopi ke dalam lubang tandas, biarkan beberapa lama dan siram. Anda akan dapati bau tidak menyenangkan itu akan hilang sama sekali.
103. BELIMBING BULUH UBAT DARAH TINGGI
Belimbing buluh bukan saja kaya vitamin C malah ia boleh dijadikan pencuci mulut selepas makan walaupun rasanya sedikit masam. Selain itu, ia juga boleh dijadikan rencah masakan untuk menambahkan kelazatan makanan terutama apabila memasak gulai lemak cili api ikan sembilan, juga berkhasiat kesihatan. Belimbing buluh dikatakan boleh menghilangkan penyakit darah tinggi dengan mengamalkan memakan buah belimbing yang agak muda dua biji sehari. Amalkan setiap hari sehingga kesannya nampak pada penurunan darah anda. Ketika ini anda juga dinasihat mengurangkan pengambilan garam dan daging serta makanan yang mengandungi lemak.
104. GARAM HILANGKAN SAKIT TEKAK
Garam banyak kegunaannya kerana ia bukan saja dijadikan bahan terpenting dalam masakan tetapi boleh menghilangkan sakit tekak yang biasanya berpunca daripada cuaca panas. Berkumurlah dengan air garam dua kali sehari, pasti tekak anda terasa lega. Caranya, anda cuma perlukan tiga camca garam dan dibancuh dengan setengah gelas air sejuk dan berkumurlah setiap hari hingga sakit tekak hilang.
105. HALIA ATASI MASALAH KEMBUNG PERUT
Halia bukan saja menjadi perencah masakan tetapi juga berguna untuk dijadikan ubat kembung perut. Dengan mengambil sebuku halia yang sederhana besar, dibersihkan dan ditumbuk tetapi jangan sampai lumat, masukkan ke dalam gelas dan tuang air panas mendidih anggaran setengah gelas. Tutup permukaan gelas itu dengan piring selama 10 minit, tapis dan jadikan dua bahagian. Sebahagiannya anda minum dan sebahagian lagi disimpan di dalam peti sejuk. Sekiranya perut anda terasa kembung lagi, ulang meminumnya hingga perut berasa lega.
106. KULIT BUNGA TANJUNG HILANGKAN JERAWAT
Ada banyak kaedah tradisional yang digunakan untuk menghilangkan jerawat. Salah satu caranya ialah dengan menggunakan kulit pokok bunga tanjung. Cara membuatnya mudah saja. Ambil lapisan dalam batang pokok itu, giling halus-halus dan jadikan ia bedak. Sebelum disapukan pada muka, campurkan dengan sedikit bedak sejuk dan beberapa titis air. Sapukan pada muka terutama pada bahagian yang berjerawat pada sebelah malam sebelum masuk tidur. Jadikan ia amalan harian. Anda akan lihat perubahan pada wajah anda.
107. MENJADIKAN GIGI PUTIH BERSIH
Untuk mendapatkan gigi yang putih bersih, ambil sebiji pinang dan dibakar hingga hangus. Kemudian tumbuk hingga ia menjadi serbuk. Simpannya di dalam bekas kedap udara, apabila hendak digunakan, sedikit garam dan gosok-gosokkan ia pada gigi dengan menggunakan jari. Lakukan selalu pada sebelah pagi dan malam sebelum tidur.
108. MENGHILANGKAN BAU KETIAK
Sekiranya anda bermasalah badan berbau hangit dan kurang menyenangkan, cuba pula cara ini. Ambil sebiji limau kasturi, belah dua dan gosokkan kedua-dua belah ketiak anda dengannya. Amalkan seminggu sekali sebelum mandi. Insya-Allah masalah badan berbau semakin berkurangan dan akan hilang dengan perlahan-lahan.
109. MELEBAT BULU KENING
Biasanya, kening yang cantik bukan saja elok terbentuk tetapi juga hitam lebat. Untuk melebatkan bulu kening ambil isi kelapa tua sebesar dua jari. Kemudian bakar di atas api sederhana hingga ia menjadi hitam. Selepas itu, angkat dan biarkan ia sejuk dan bolehlah disapu pada bulu kening. Jika rajin mengamalkannya, kening akan menjadi lebat dan hitam menawan. Selamat mencuba.
110. DAUN PERIA UBAT KURAP
Jika ada yang menderita penyakit kurap, ini ada petua mudah untuk mengubatinya. Ambil beberapa helai daun peria dan bersihkannya. Kemudian ramas-ramaskannya dan gosokkannya pada badan atua kulit yang dijangkiti kurap. Lakukannya berulang-ulang kali, pasti hasilnya sangat memuaskan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan