11 Oktober, 2009

Masih ingatkah permainan waktu kanan kanak dahulu

ACI SOROK
Dibeberapa tempat permainan ini dinamakan juga sebagai main sorok-sorok. Kanak-kanak lelaki dan perempuan amat mengemari permainan ini, ia amat mudah dan jumlah pemain yang tidak terhad. Lebih ramai yang bermain lebih mendatangkan keseronokan dan bertambah meriah lagi bagi mereka.
Jenis permainan luar rumah dan memerlukan kawasan yang luas, persekitaran rumah akan dijadikan gelanggang. Sebatang pokok atau tiang akan dijadikan ibu atau rumah iaitu induk untuk pemain yang akan mencari rakan mereka yang menyorok.
Undian
Sebelum permainan dijalankan, kesemua pemain akan mencari seorang yang dinamakan pencari. Undian secara lai lai li tam plong dijalankan kepada semua pemain.
Cara Bermain dan Peraturan
Setelah pencari ditentukan, ia hendaklah berdiri dengan menutup matanya di rumah induk. Kiraan akan dibuat 1 hingga 100 atau kurang bilangannya secara kuat. Setelah selesai kiraan dibuat, pencari akan mula mencari rakan pemain lain yang menyorok disekitar kawasan yang telah ditetapkan. Jika terdapat pemain yang menyorok diluar kawasan yang telah ditetapkan ia dikira jadi dan akan mengambil peranan sebagi pencari pula.
Sekiranya pencari telah menjumpai salah seorang dari mereka, hendaklah disebut dengan kuat namanya dan dituruti dengan sebutan ibu. Dalam masa yang sama pencari hendaklah berlari ke rumah induk serta mencuit induk, dengan tujuan mematikan pemain yang ditemui agar pemain itu tidak boleh mencuit induk pula. Pencarian ini akan dilakukan berterusan hingga kesemua pemain yang menyorok ditemui.
Setelah seleasi kesemua pemain yang menyorok ditemui dan tiada seorang pun yang dapat membantu membatalkan cuitan pencari ke rumah induk, maka pemain yang mula-mula ditemui itu akan jadi pencari pula.
Seandainya pemain yang ditemui itu sempat mencuit terlebih dahulu dari pencari ke rumah induk, maka pencari ini akan jadi semula sebagai pencari dan permainan dimulakan semula. Hal yang sedemikian juga boleh terjadi sekiranya salah seorang dari pemain mencuit rumah induk dengan menjeritkan perkataan ibu, maka permainan akan dimulakan semula dan pencari akan tetap memegang peranannya.



CARI CUCU
Permainan Mencari Cucu merupakan permainan tradisional yang dimainkan oleh kanak-kanak diluar rumah. Ianya dimainkan oleh beberapa orang dengan jumlah yang ramai. Halaman rumah atau tempat lapang merupakan gelanggang yang sering digemari oleh mereka.
Didalam permainan ini terdapat dua buah lagu khas yang didendangkan. Sehelai sapu tangan atau kain untuk menutup mata dan sebatang kayu tongkat diperlukan sebagai alat.
Menentukan Nenek
Sebelum permainan dimulakan seorang dari mereka haruslah menjadi nenek. Bagi menentukan nenek maka undian secara lai lai li tam plong perlu dijalankan. Siapa dikalangan mereka yang kalah dalam undian tersebut maka akan ditutup matanya dengan sapu tangan atau kain untuk dijadikan nenek. Sebatang tongkat diberikan untuk dipegang dan berperlakuan seperti nenek tua yang buta.
Permainan Cari Cucu
Kesemua pemain membuat satu bulatan mengelilingi nenek dengan berpegangan tangan diantara satu sama lain. Sebuah dendangan dinyanyikan oleh cucu secara beramai-ramai.
Nyanyian
Nenek, nenek,
si bongkok tiga.
Siang mengantuk,
malam berjaga.
Mencari cucu
dimana berada.
Nenek kahwin
dengan anak raja.

Ketika cucu bernyanyi berpusing-pusing mengelilingi nenek, maka perlakonan nenek seperti orang buta terbongkok-bongkok dengan menggunakan tongkat mencari jalan.
Setelah cucu tamat mendendangkan nyanyian, maka nenek pula mengambil giliran mendendangkan nyanyiannya.
Nyanyian
Cucu, cucu
tak dapat lari.
Nenek tua
banyak sakti.
Sekarang nenek
nak cari ganti.
Siapa yang kena,
dia menjadi.

Setelah selesai dendangan nenek masing-masing cucu duduk mencangkung mendiamkan diri dengan harapan nenek tidak mengetahui kedudukan mereka. Dengan menggunakan tongkat nenek mencari-cari cucu yang mendiamkan diri disekelilingnya. Setelah berjaya menangkap seorang cucu nenek perlu meneka nama pemain tersebut dengan betul.
Sekiranya tekaan nenek itu betul maka pemain tersebut akan menjadi nenek menggantikan tempatnya. Seandainya tekaan itu tidak tepat maka watak nenek masih menjadi miliknya dan permainan diteruskan.


JALA ITIK
Permainan ini bertujuan menentukan pasukan mana yang mempunyai bilangan ahli paling ramai. Tiada sebarang alatan diperlukan, cuma sebuah lagu yang menarik dinyanyikan untuk mengiringi setiap langkah permainan.
Cara Bermain
Dua orang dipilih menjadi ketua, kebiasaanya bertubuh besar dan menggunakan nama samaran yang hanya diketahui oleh mereka berdua sahaja. Kedua-dua ketua ini akan berhadapan antara satu sama lain dengan memegang tangan masing-masing yang diangkat keatas, bagi memudahkan para ahlinya melintasi dibawahnya. Semasa ini sebuah nyanyian dialunkan:
“Jan-jan jala
Jala itik jala ayam.
Berapa lubang kancil?
Seratus lima puluh.
Singgah Cik Dayang singgah.
Makan sirih mulut merah.”

Sebaik sahaja lagu itu selesai dinyanyikan, ketua-ketua itu akan menangkap pemain terakhir yang sedang melintas.
Menentukan Pemain
Setelah itu, pemain yang ditangkap tadi dibawa ke tempat lain oleh ketua-ketua itu untuk disoal. Kemudian mereka menyebut nama samaran yang telah ditetapkan sebelum permainan. Pemain yang ditangkap itu dikehendaki memilih salah satu nama tersebut. Pemain-pemain tadi dikehendaki berdiri di belakang ketua yang mana namanya dipilih oleh ahli tadi dengan merahsiakan nama pilihannya kepada ahli yang lain. Kemudian permainan dimulakan semula seperti awal tadi, sehinggalah semua pemain selesai memilih ketua masing-masing.
Pertukaran Pemain
Jika ada kumpulan mempunyai jumlah ahli yang lebih ramai daripada kumpulan yang satu lagi, rayuan boleh dibuat untuk pertukaran ahli bagi mengimbangkan jumlah ahli setiap pasukan. Bagaimanapun, pertukaran hanya boleh dibuat setelah persetujuan di antara kedua-dua belah pihak dicapai. Jika tidak mahu membuat pertukaran, permainan akan tamat di situ dan ketua itu dikira menang, kerana mempunyai ahli yang paling ramai.
Menentukan Pemenang
Sebaliknya jika ini terjadi, satu perlumbaan dilakukan. Untuk itu, satu garisan dibuat bagi membolehkan kedua-dua pasukan beradu kekuatan. Kedua-dua ketua pasukan berdiri sama jauh dari garisan dan tangan mereka berpaut antara satu sama lain. Pemain-pemain lain beratur di belakang ketua masing-masing sambil memegang pinggang. Kedua-dua ketua pasukan berusaha menarik antara satu sama lain supaya melangkah garisan itu, dengan ahli lain membantu, seperti tarik tali. Jika pasukan yang kurang ahlinya itu berjaya menarik pasukan lawan melintasi garisan itu, pasukannya dianggap menang. Maka dia boleh meminta sejumlah pemain yang dikehendakinya untuk mengimbangi pasukannya dengan pasukan yang satu lagi itu. Sebaliknya, jika pasukannya gagal berbuat demikian, maka dia dianggap kalah.


KONDA KONDI @ PERIK MATA
Konda-kondi juga dikenali sebagai Perik Mata memerlukan fikiran yang tajam dan kekuatan pemain, iaitu ketika memikir arah yang selamat untuk menguis kayu dan mengejar kayu yang dikuis untuk mematikan pihak lawan. Permainan ini memerlukan kawasan lapang.
Peralatan yang diperlukan adalah terdiri daripada dua batang kayu kecil berukuran, l5cm dan 30cm panjang. Kedua-dua batang kayu ini berbentuk bulat dan berukuran 2cm garis pusat. Kayu yang pendek dipanggil anak dan yang panjang dipanggil ibu. Lubang sedalam 15cm juga dikorek bagi meletakkan kayu panjang.
Undian secara ‘wan to som’ dijalankan bagi membentuk pasukan dan menetapkan pasukan mana yang harus memainkan terlebih dahulu.
Permainan Pertama
Pemain pertama memulakan permainan dengan meletakkan kayu pendek melintang lubang, kayu panjang digunakan untuk menguis kayu pendek itu supaya melambung ke udara, setelah itu kayu panjang diletakkan semula melintang lubang sementara itu, ahli pasukan lawan hendaklah cuba menyambut kayu pendek yang dikuis oleh pemain itu sebelum jatuh ke tanah. Jika pasukan lawan berjaya berbuat demikian, semua pemain daripada kumpulan yang sedang bermain itu dikira mati. Permainan akan diambil alih pula oleh pasukan lawan, tetapi jika pasukan lawan gagal menyambutnya, mana-mana ahli hendaklah membalingkan kayu pendek masuk ke dalam lubang ataupun mengena kayu panjang.
Jika kayu itu masuk ke dalam lubang atau pun terkena kayu panjang yang diletakkan melintang tadi, cuma pemain itu sahaja yang dikira mati. Sebaliknya, jika kayu yang dibaling oleh pemain lawan itu tidak mengenai lubang atau kayu panjang itu, pemain tersebut boleh mendapatkan mata dengan mengira jarak kayu itu jatuh dari lubang. Satu jarak kayu panjang dikira satu mata.
Permainan Kedua
Pemain tadi akan mengambil kayu pendek dan melambungkan ke udara, kemudian memukulnya kuat dengan kayu panjang. Dia diberi peluang sebanyak tiga kali jika pukulan pertama atau keduanya tidak kuat.
Sekali bagi pemain lawan cuba menyambut jika tidak berjaya. Pemain tadi boleh mendapat mata, dengan kiraan yang sama. Mata yang diperoleh dicampur dengan mata daripada langkah pertama tadi.
Permainan Ketiga
Seterusnya, pemain beralih kepada langkah ketiga yang dipanggil patuk ular. Pemain menyandarkan kayu pendek di tepi lubang, kemudian mengetuk hujung kayu pendek itu dengan kayu panjang. Jika pukulan dibuat dengan baik, kayu pendek akan melentik ke udara. Pemain itu hendaklah bersedia untuk memukul kayu pendek itu sebelum jatuh ke tanah, dengan menggunakan kayu panjang. Tempat kayu pendek itu jatuh dikira mata, iaitu mengiranya dengan menggunakan kayu panjang, kiraan mata tetap sama seperti sebelumnya. Pasukan yang mempunyai mata tertinggi memenangi perlawanan ini.


2 ulasan:

Solehah berkata...

tak pernah main jala itik dengan konda kondi..

rusdi berkata...

Salam Solehah, ni tentu kena cuba baru nanti boleh diajar kepada anak anak atau cucu nanti.