20 Ogos, 2010

Sunat Berbuka Puasa Dengan Kurma


ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH.

Daripada Salman bin Amir Addabbi Assohaabi r.a. daripada Nabi SAW bersabda :
“Jika seseorang daripada kamu berbuka, hendaklah ia berbuka dengan buah kurma. Sekiranya buah kurma tiada, bolehlah ia berbuka dengan air kosong. Sesungguhnya air itu bersih lagi suci.” (Riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi).
Hadith di atas menerangkan kepada kita bahawa orang Islam yang berpuasa disunatkan berbuka dengan rutob atau buah kurma atau air biasa jika ketiadaan buah kurma. Inilah tertib atau sunnah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.
Rutob ialah buah tamar yang telah masak sebelum menjadi tamar kering. Ianya lembut dan manis. Manakala tamar ialah buah kurma yang sudah kering.
Hikmah kita disunatkan berbuka dengan buah tamar ialah kerana kurma dipercayai mengandungi glukosa yang mampu memberi tenaga segera kepada badan.
Ia juga dipercayai mengandungi protein, serat, gula, vitamin A & C serta zat mineral seperti besi, kalsium, sodium dan potassium.
Manakala kandungan protein dalam sebiji kurma adalah kira-kira 1.8 hingga 2.0%, serat 2.0 hingga 4.0%, manakala kandungan gulanya adalah 50 hingga 57%.
Justeru itu, sesiapa yang berpuasa dengan ikhlas kerana Allah SWT, kemudian beramal mengikut sunnah Rasulullah SAW akan di beri ganjaran pahala di akhirat serta mendapat nikmat dan rahmat Allah SWT di dunia dan juga di akhirat.
Wallahu a’lam.

Tiada ulasan: