07 Ogos, 2012

Nikmat Allah tiada tandingan dengan masa beribadah

Diriwayatkan daripada Jabir, dia berkata, “Pada suatu hari Rasulullah pernah keluar menemui kami, kemudian Baginda bersabda: Jibril pernah berkata : Wahai Muhammad, demi Dzat yang telah mengutusmu dengan hak, sesungguhnya Allah memiliki seorang hamba yang pernah beribadah selama 500 tahun di puncak gunung yang berada di tengah lautan. Panjang dan lebarnya gunung itu masing-masing tiga puluh hasta. Gunung itu dikelilingi oleh lautan. Di mana jarak gunung itu dengan pinggir lautan sekitar empat ribu farsakh dari semua penjuru.

Di bawahnya terdapat mata air tawar sebesar jari tangan yang mengeluarkan air tawar hingga air itu bercampur dengan air laut di bawah gunung itu. Di kaki gunung itu ada pohon delima yang setiap harinya mengeluarkan sebiji buah delima untuk dimakannya agar ia kuat mengerjakan ibadah. Pada petang harinya ia turun dari gunung untuk mengambil air wuduk sambil mengambil buah delima dan memakannya. Setelah itu barulah ia menunaikan solatnya. Hamba itu memohon agar pada waktu nyawanya dicabut ia berada dalam keadaan bersujud, dan memohon agar jasadnya terpelihara utuh, hingga pada hari kebangkitan nanti ia berada dalam keadaan sujud kepada Allah. Rasulullah SAW bersabda : Maka Allah pun memakbulkan seluruh permohonannya.

Ketika turun ke bumi, kami (malaikat) lewati dan memerhatikan ibadahnya, dan ketika naik ke langit kami mengetahui dari ilmu Allah, bahawa di hari kebangkitan nanti ketika ia berada di hadapan Allah, Allah berkata kepadanya : Masukkan hamba-Ku ke dalam syurga kerana rahmat dan kasih sayang-Ku! Hamba itu berkata : Wahai Tuhanku, bukankah aku masuk syurga kerana amalku? Allah berkata kepadanya : Masukkan hamba-Ku ke dalam syurga kerana rahmat dan kasih sayang-Ku! Hamba itu kembali berkata : Wahai Tuhanku, bukankah aku masuk syurga kerana amalku? Allah berkata : Hitunglah wahai para malaikat lebih banyak mana antara nikmat yang telah Aku kurniakan kepadanya dengan amal yang telah dilakukannya!

Setelah dilakukan perhitungan, ternyata pahala ibadah 500 tahun belum boleh mengalahkan kenikmatan yang telah Allah kurniakan kepada hamba-Nya, tinggallah kenikmatan anggota tubuh yang lain yang belum boleh dibayar dengan amal ibadahnya. Maka Allah berkata : Wahai para malaikat, masukkan hamba-Ku ke dalam neraka! Maka hamba itu pun dimasukkan ke dalam neraka. Hamba itu berkata : Wahai Tuhanku, kalau begitu masukkan aku ke dalam syurga kerana rahmat dan kasih sayang-Mu! Allah berkata : Kembalikan hamba-Ku ke dalam syurga. Maka hamba itu dihadapkan kepada Allah.

Allah SWT bertanya : Wahai hamba-Ku, siapa yang menciptakanmu ketika kamu tidak berupaya apa pun? Hamba itu menjawab : Engkau wahai Tuhanku. Allah kembali bertanya : Siapa yang membuatmu kuat hingga kamu mampu menjalankan ibadah kepada-Ku sebagaimana mestinya selama 500 tahun? Hamba itu menjawab : Engkau wahai Tuhanku. Allah kembali bertanya : Siapa yang menempatkanmu di gunung di tengah samudera yang dalam, dan siapa yang mengeluarkan air tawar dari air masin dan mengeluarkan buah delima pada setiap malam, pada hal sebenarnya buah delima itu seharusnya berbuah sekali dalam setahun, kemudian Aku mengabulkan permintaanmu supaya kamu dicabut nyawa dalam keadaan bersujud kepada-Ku? Hamba itu menjawab : Engkau wahai Tuhanku. Allah berkata : Semua itu terjadi kerana rahmat dan kasih sayang-Ku dan dengan rahmat-Ku juga Aku memasukkanmu ke dalam syurga. Masukkanlah hamba-Ku ke dalam syurga, kerana kamu adalah hamba-Ku yang paling taat.

Maka Allah memasukkannya ke dalam syurga. Jibril berkata : Sesungguhnya segala sesuatu itu terjadi berkat rahmat Allah wahai Muhammad.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan