02 Mac, 2010

Rumah Tradisional Perak

Pengenalan


Rumah ini adalah dari jenis bumbung panjang. Keistimewaan reka bentuknya adalah kerana ia lebih etnik dan ringkas. Reka bentuk ini juga dikenali sebagai rumah kutai. Rumah ini masih terdapat di negeri Perak dan telah berusia lebih 100 tahun. Antaranya di Kampung Sayong Lembah, Kuala Kangsar, Kampung Kota Lama Kanan dan Kampung Bota Kanan, Parit.

Rumah ini menggunakan sepenuhnya bahan binaan semula jadi yang terdapat di sekeliling kampung. Struktur asas adalah kayu keras manakala atap dibuat dari daun rumbia dan dinding pelupuh dari anyaman buluh atau rotan.

Rumah ini mempunyai bumbung yang agak tinggi, tetapi terdapat sedikit keunikan dari segi keterbukaan rumah ini. Ia seolah-olah tidak mempunyai pengudaraan yang baik dan mencukupi. Dinding rumah mencapai ke paras rabung atap tanpa diselangi kerawang atau seumpamanya. Ini disebabkan dinding itu sendiri tembus angin, maka ianya tidak perlu hiasan kerawang dan  sikap rendah diri penghuni rumah ini.
Keringkasan reka bentuk menunjukkan yang rumah kutai adalah untuk orang biasa berbanding rekaan lain yang lebih moden dan canggih seperti bumbung limas dan bumbung Perak. Rumah ini menyaksikan beberapa unsur seni struktur yang agak menarik, ringkas dan mempunyai fungsinya tersendiri.

Elemen Seni bina

Rumah ibu dipisahkan dari rumah dapur dengan selang yang terbuka. Rumah ibu mempunyai tingkap menghala ke rumah dapur. Di penghujung rumah dapur terdapat pelantar untuk kegunaan penyediaan makanan atau ruang letak untuk hasil dari kebun dan sungai. Rumah ini mempunyai beberapa unsur seni struktur yang agak menarik, ringkas dan mempunyai fungsinya tersendiri.
Rumah ibu mempunyai bumbung yang tertinggi. Ia turut menempatkan atau berfungsi sebagai serambi di bahagian depan dan sebuah bilik. Di sebelah kiri bilik terdapat ruang seakan serambi menyamai bahagian serambi utama di sebelah kanan, mungkin ianya adalah untuk ahli keluarga perempuan. Rumah ibu mempunyai tingkap menghala ke rumah dapur.

Rumah ibu dipisahkan atau dihubungkan oleh selang yang lebih terbuka. Selang mempunyai ketinggian yang sedikit rendah, sekitar 15cm sehingga 30cm dari aras rumah ibu dan rumah dapur.
Rumah dapur menempatkan segala peralatan memasak dan ruang makan. Ia dihubungkan oleh selang untuk ke rumah ibu. Di penghujung rumah dapur terdapat pelantar, berfungsi sebagai tempat penyediaan makanan dan ruang letak untuk hasil dari kebun atau sungai.


Tampak di sebelah kanan dan kiri rumah dapat menyaksikan setiap bahagian penting rumah iaitu, rumah ibu, selang, rumah dapur dan pelantar.
Rekaan tingkap adalah agak kecil, ringkas dan tinggi dari aras lantai. Keringkasan reka bentuk menunjukkan yang rumah kutai adalah untuk orang kebiasaan berbanding rekaan lain yang lebih moden dan canggih seperti bumbung limas dan bumbung Perak.

Selak


Tebar layar


Pelupuh-Dinding Tepas


Rumah Tradisional Negeri Sembilan

Pengenalan

Negeri Sembilan mempamerkan secara keseluruhan reka bentuk bumbung panjang yang bersifat Minangkabau. Ia mempunyai sifat reka bentuk atap yang bertingkat yang dialas daun rumbia. Rumah ini mempunyai serambi hadapan dan anjung yang meneduhkan tangga utama kemasukan ke Rumah Ibu melalui Serambi.  Serambi dihiasi ukiran kerawang yang bercorak silang-menyilang. Rekaan tangga adalah ringkas. Tangga diikat atau dimatikan dengan rekaan kekunci dipapan yang menarik seperti yang boleh dilihat di dalam gambar.


Rumah ini dihiasi ukiran kayu yang banyak di sekeliling rumah, lebih-lebih lagi di sekitar Serambi hadapan rumah. Ukiran adalah bermotifkan silang dan bunga yang agak bersifat grafik. Bahagian anjung, serambi dan rumah ibu mempunyai aras yang berbeza.

Rumah ibu mempunyai ruang yang terluas dan tertinggi. Terdapat bilik di rumah ibu dan tangga menghala ke loteng. Loteng ini mengambil lebihan ketinggian dan tingkat atap yang diberi ruang oleh struktur rumah ini.



Rumah ibu bersifat terbuka dan disambung ke rumah dapur melalui pintu yang menghala ke selang. Selang tidak berdinding dan merupakan pelantar kepada sebahagian fungsi dapur. Ianya berperanan sebagai ruang bersembang untuk kaum wanita.  Rumah Negeri Sembilan ini memaparkan seni kraf kayu yang menyeluruh hingga sampai ke rumah dapur. Paras tingkapnya adalah sangat rendah, iaitu direka untuk paras orang duduk dan bukannya berdiri.


Rumah Negeri Sembilan ini mempunyai rumah tangga, iaitu ruang pengenalan dan persinggahan pertama ke dalam bahagian rumah. Ruang ini boleh juga dipanggil beranda kerana tidak berdinding dan terbuka. Ruang ini berhubung terus ke serambi yang berdinding, di aras yang berbeza. Serambi rumah jenis ini adalah agak luas dan panjang, sesuai untuk menempatkan tetamu untuk acara kenduri-kendara.
Rumah ibu mempunyai ruang yang luas dan tinggi. Rumah ini mempunyai satu bilik tidur. Terdapat sebuah tangga menuju ke loteng dari sudut rumah ibu. Loteng ini mengambil lebihan ketinggian dan tingkat atap yang diberi ruang oleh struktur rumah ini. Lazimnya loteng digunakan sebagai sebuah bilik tidur untuk anak lelaki bujang kerana kecuraman tangga yang tidak sesuai untuk anak perempuan.
Rumah ibu adalah terbuka luas dan disambung ke rumah dapur melalui pintu yang menghala ke selang. Selang tidak berdinding dan merupakan pelantar kepada sebahagian fungsi dapur. Selang berperanan sebagai ruang bersembang untuk kaum wanita.



Tampak


Rumah ini mempunyai serambi yang dihiasi ukiran kerawang yang bercorak silang-menyilang. Tingkap ruang ini adalah jenis tingkap penuh. Jerejak berbentuk silinder diletakkan sebagai penghadang tetapi memaksimakan keterbukaan tingkap tersebut, justeru udara masuk ke dalam rumah. Rekaan tangga adalah ringkas. Tangga diikat atau dimatikan dengan rekaan papan kekunci mudah.



Rumah ini dihiasi ukiran kayu yang banyak di sekeliling rumah, lebih-lebih lagi di sekitar serambi hadapan rumah. Ukiran adalah bermotifkan silang dan bunga. Rumah Negeri Sembilan ini memaparkan seni kraf kayu yang menyeluruh hingga sampai ke rumah dapur. 

Tebar layar


Kerawang dan jerejak



Bahagian bawah atap dan dinding rumah ditutup dengan tebar layar. Tebar layar yang agak besar itu memberikan identiti yang cukup kuat untuk reka bentuk jenis ini. Tebar layar ini diukir ringkas dan membenarkan pengaliran udara masuk ke dalam ruang atap. 

Rumah Tradisional Selangor

Pengenalan

Rumah ini merupakan rekaan bumbung panjang yang terdapat di negeri Selangor. Ia mengandungi kombinasi anjung dan serambi yang agak besar dan menonjol. Hampir kesemua rekaan bumbung panjang adalah memanjang kebelakang apabila diperbesarkan mengikut keperluan semasa pemilik rumah. Rumah ini tidak mempunyai bumbung bertingkat seperti rumah Negeri Sembilan, tetapi mempunyai bumbung besar yang agak curam di rumah ibu. Seperti kebiasaan reka bentuk ini, tujuan bumbung yang besar (tebar layar) ini adalah untuk memerangkap angin agar ruang atap dapat diudarakan untuk tujuan menurunkan suhu di dalamnya.

Justeru, lebih besar rumah ibu, maka lebih besarlah atap tersebut.  Rekaan luaran rumah ini mempunyai ukiran yang sederhana di bahagian atas tingkap. Tingkap mempunyai jerejak pendek yang terletak di atas palang bawah tingkap. Tingkap rumah ini terletak agak rendah dari paras lantai. Rumah ibu dinaikkan paras berbanding dapur, anjung, rumah tangga dan serambi. Ketinggian struktur atap membuatkan rumah ini kelihatan luas dan lega ketika berada di dalamnya. Ia juga bertujuan agar proses pengaliran udara yang lebih lancar dan selesa. Rumah ini tidak mempunyai selang, berbanding rumah bumbung besar yang lain.

Elemen Seni bina

Rumah ini tidak mempunyai bumbung bertingkat seperti rumah Negeri Sembilan, tetapi mempunyai bumbung besar yang agak curam di rumah ibu. Seperti kebiasaan reka bentuk ini, tujuan bumbung yang besar (tebar layar) ini adalah untuk memerangkap angin agar ruang atap dapt diudarakan untuk tujuan menurunkan suhu di dalam rumah. Justeru, lebih besar rumah ibu, maka lebih besarlah atap tersebut. Rekaan luaran rumah ini mempunyai ukiran yang sederhana di bahagian atas tingkap.

Tingkap mempunyai jerejak pendek yang terletak di atas palang bawah tingkap. Tingkap rumah ini terletap agak rendah dari paras lantai. Rumah ibu dinaikkan paras berbanding serambi dan selang. Ketinggian struktur atap membuatkan rumah ini kelihatan luas dan selesa apabila berada di ruang dalam rumah. Ia juga membolehkan pengaliran udara yang lebih lancar dan selesa.

Rumah bumbung panjang jenis ini adalah agak besar dan menyediakan pelbagai jenis ruang untuk keselesaan penghuninya. Rumah ibu adalah luas kerana ia digabungkan dengan rumah tengah. Rumah tengah pula bercantum dengan rumah dapur di aras yang sama di sebahagian besar rumah dapur itu.

Rumah ini mempunyai dua bilik, sesuai untuk keluarga yang besar dan taraf kewangan pemiliknya. Rumah ini mempunyai tiga pintu masuk, iaitu satu di bahagian hadapan rumah, satu dari tepi rumah dan satu lagi di bahagian belakang dapur.

Bahagian hadapan menyaksikan kehadiran beranda, ruang teduh yang hanya berjerejak tetapi tidak berdinding sebagai mukadimah apabila  seseorang masuk ke dalam rumah. Bahagian anjung pula, merupakan ruang tertutup yang berbeza aras sebagai ruang pertama di dalam rumah. Bahagian anjung dihubungkan dengan rumah ibu melalui serambi. Serambi mempunyai aras yang sama dengan rumah ibu. Bahagian anjung dan serambi merupakan ruang yang direka untuk melayan tetamu bersesuaian dengan acara kenduri kecil atau lawatan secara santai.

Tampak
Rumah ini agak memanjang ke belakang disebabkan terdapat bahagian ruang tambahan seperti rumah tengah, di samping ruang-ruang lain yang agak besar. Rumah ini keseluruhan diperbuat daripada kayu, atap nipah dan menggunakan elemen logam sebagai penampan air hujan di sekitar rabung dan cucur atap.

Rumah ini dihiasi oleh dua pintu masuk utama, satu di bahagian hadapan dan satu di bahagian tepi. Kedua-dua pintu masuk ini mempunyai beranda, cuma yang di bahagian tepi itu diberi nama khas dikenali rumah tangga. Ruang ini menampakkan kehadiran jerejak yang berbentuk silinder yang beralun. 

Tebar layar


Kerawang

Jerejak

Bumbung utama rumah dihiasi dengan tebar layar yang dihiasi seadanya dan jaringan kayu bertujuan untuk pengudaraan ruang atap bagi mengurangkan kesan haba masuk ke dalam rumah. Di atas tingkap pula terdapat ukiran kerawang berbunga berfungsi untuk proses pengudaraan di dalam rumah.

Rumah Tradisional Melaka

 Pengenalan

Ini merupakan rumah Melaka versi “Tiang 12”. Versi ini mempunyai reka bentuk ringkas dan mengandungi fungsi ruang secara asas, menunjukkan kesederhanaan pemiliknya. Reka bentuk rumah ini mengandungi serambi, rumah ibu, selang dan rumah dapur. Secara asas pelan rumah ini menyamai rumah kutai negeri Perak, perbezaannya  terdapat serambi di bahagian hadapan rumah ini. Serambi adalah tempat berehat dan mengambil angin, melayan tamu dan meninjau aktiviti di hadapan rumah.
Keseluruhan dinding rumah diperbuat daripada kayu, kecuali di bahagian dapur yang mempunyai dinding pelupuh. Bahagian atap rumah ini dibuka sedikit untuk membenarkan pengudaraan masuk ke dalam rumah. Bahagian selang rumah pula didinding, berbeza dengan rumah kutai Perak. Rumah ini mempunyai tebar layar bermotif bunga dan papan pemuka yang berkerawang ringkas. Kayu jerejak di serambi juga mempunyai ukiran yang ringkas sesuai dengan konteks kesederhanaan rumah ini.

Elemen Seni bina

Lazimnya rumah ini dimiliki  oleh orang kebiasaan, maka reka bentuk rumah ini terhad kepada fungsi asas iaitu mengandungi rumah ibu, rumah dapur dan serambi.
Rumah dapur mempunyai pintu masuk di sebelah sisi belakang, memudahkan kaum wanita bertandang. Keseluruhan rumah adalah diperbuat daripada kayu meranti.




Rumah ibu mempunyai bumbung dan lantai yang tinggi. Ia turut menempatkan sebuah ruang terbuka yang luas. Kebiasaan tidak terdapat bilik di sini, tetapi keluasan ruang ini boleh menempatkan sehingga dua bilik.
Rumah ibu dihubungkan oleh selang yang lebih terbuka. Selang mempunyai ketinggian yang sedikit rendah dari aras rumah ibu dan rumah dapur serta mempunyai dinding.
Rumah dapur menempatkan segala peralatan memasak dan ruang makan. Ia dihubungkan oleh selang untuk ke rumah ibu. Di penghujung rumah dapur terdapat pelantar yang berfungsi sebagai tempat penyediaan makanan dan ruang meletak hasil yang diperolehi dari kebun atau sungai.


































Tampak disebelah kanan dan kiri rumah dapat menyaksikan setiap bahagian penting  rumah iaitu, serambi, rumah ibu, selang, rumah dapur dan pelantar.


Hampir keseluruhan rumah ini diperbuat daripada kayu, kecuali dibahagian rumah dapur yang menggunakan dinding pelupuh buluh. Atap rumah diperbuat daripada nipah yang berkecerunan 31 darjah dan 57 darjah.




Tibar Layar




Serambi


Dapur




Rumah ini mempunyai tebar layar yang membolehkan pengudaraan ke atas atap. Tebar layar dihiasi ukiran mudah dan ia mempunyai papan pemuka yang bermotif bunga  melitupi di keseluruhan tepi atap.

RUMAH MELAYU TRADISIONAL


Rumah Tradisional Perlis

Rumah Tradisional Kedah

Rumah Tradisional Pulau Pinang

Rumah Tradisional Perak

Rumah Tradisional Selangor

Rumah Tradisional Negeri Sembilan

Rumah Tradisional Melaka

Rumah Tradisional Johor

Rumah Tradisional Pahang

Rumah Tradisional Terengganu

Rumah Tradisional Kelantan

Rumah Panjang Tradisional Iban Sarawak

Rumah Tradisional Khadazan Sabah