02 Mac, 2010

Rumah Tradisional Melaka

 Pengenalan

Ini merupakan rumah Melaka versi “Tiang 12”. Versi ini mempunyai reka bentuk ringkas dan mengandungi fungsi ruang secara asas, menunjukkan kesederhanaan pemiliknya. Reka bentuk rumah ini mengandungi serambi, rumah ibu, selang dan rumah dapur. Secara asas pelan rumah ini menyamai rumah kutai negeri Perak, perbezaannya  terdapat serambi di bahagian hadapan rumah ini. Serambi adalah tempat berehat dan mengambil angin, melayan tamu dan meninjau aktiviti di hadapan rumah.
Keseluruhan dinding rumah diperbuat daripada kayu, kecuali di bahagian dapur yang mempunyai dinding pelupuh. Bahagian atap rumah ini dibuka sedikit untuk membenarkan pengudaraan masuk ke dalam rumah. Bahagian selang rumah pula didinding, berbeza dengan rumah kutai Perak. Rumah ini mempunyai tebar layar bermotif bunga dan papan pemuka yang berkerawang ringkas. Kayu jerejak di serambi juga mempunyai ukiran yang ringkas sesuai dengan konteks kesederhanaan rumah ini.

Elemen Seni bina

Lazimnya rumah ini dimiliki  oleh orang kebiasaan, maka reka bentuk rumah ini terhad kepada fungsi asas iaitu mengandungi rumah ibu, rumah dapur dan serambi.
Rumah dapur mempunyai pintu masuk di sebelah sisi belakang, memudahkan kaum wanita bertandang. Keseluruhan rumah adalah diperbuat daripada kayu meranti.




Rumah ibu mempunyai bumbung dan lantai yang tinggi. Ia turut menempatkan sebuah ruang terbuka yang luas. Kebiasaan tidak terdapat bilik di sini, tetapi keluasan ruang ini boleh menempatkan sehingga dua bilik.
Rumah ibu dihubungkan oleh selang yang lebih terbuka. Selang mempunyai ketinggian yang sedikit rendah dari aras rumah ibu dan rumah dapur serta mempunyai dinding.
Rumah dapur menempatkan segala peralatan memasak dan ruang makan. Ia dihubungkan oleh selang untuk ke rumah ibu. Di penghujung rumah dapur terdapat pelantar yang berfungsi sebagai tempat penyediaan makanan dan ruang meletak hasil yang diperolehi dari kebun atau sungai.


































Tampak disebelah kanan dan kiri rumah dapat menyaksikan setiap bahagian penting  rumah iaitu, serambi, rumah ibu, selang, rumah dapur dan pelantar.


Hampir keseluruhan rumah ini diperbuat daripada kayu, kecuali dibahagian rumah dapur yang menggunakan dinding pelupuh buluh. Atap rumah diperbuat daripada nipah yang berkecerunan 31 darjah dan 57 darjah.




Tibar Layar




Serambi


Dapur




Rumah ini mempunyai tebar layar yang membolehkan pengudaraan ke atas atap. Tebar layar dihiasi ukiran mudah dan ia mempunyai papan pemuka yang bermotif bunga  melitupi di keseluruhan tepi atap.

1 ulasan:

bluryblackhulk berkata...

boleh tolong carikan mereka yang boleh rekabentukkan bumbung melaka ke atas plan rumah saya??? permintaan ibu saya ni..terima kasih..