Diriwayatkan
daripada Jabir, dia berkata, “Pada suatu hari Rasulullah pernah keluar menemui
kami, kemudian Baginda bersabda: Jibril pernah berkata : Wahai Muhammad, demi Dzat yang telah mengutusmu dengan hak, sesungguhnya Allah memiliki seorang
hamba yang pernah beribadah selama 500 tahun di puncak gunung yang berada di
tengah lautan. Panjang dan lebarnya gunung itu masing-masing tiga puluh hasta.
Gunung itu dikelilingi oleh lautan. Di mana jarak gunung itu dengan pinggir
lautan sekitar empat ribu farsakh dari semua penjuru.
Di bawahnya terdapat
mata air tawar sebesar jari tangan yang mengeluarkan air tawar hingga air itu
bercampur dengan air laut di bawah gunung itu. Di kaki gunung itu ada pohon
delima yang setiap harinya mengeluarkan sebiji buah delima untuk dimakannya
agar ia kuat mengerjakan ibadah. Pada petang harinya ia turun dari gunung untuk
mengambil air wuduk sambil mengambil buah delima dan memakannya. Setelah itu
barulah ia menunaikan solatnya. Hamba itu memohon agar pada waktu nyawanya
dicabut ia berada dalam keadaan bersujud, dan memohon agar jasadnya terpelihara
utuh, hingga pada hari kebangkitan nanti ia berada dalam keadaan sujud kepada
Allah. Rasulullah SAW bersabda : Maka Allah pun memakbulkan seluruh
permohonannya.
Ketika turun ke bumi,
kami (malaikat) lewati dan memerhatikan ibadahnya, dan ketika naik ke langit
kami mengetahui dari ilmu Allah, bahawa di hari kebangkitan nanti ketika ia
berada di hadapan Allah, Allah berkata kepadanya : Masukkan hamba-Ku ke dalam
syurga kerana rahmat dan kasih sayang-Ku! Hamba itu berkata : Wahai Tuhanku,
bukankah aku masuk syurga kerana amalku? Allah berkata kepadanya : Masukkan
hamba-Ku ke dalam syurga kerana rahmat dan kasih sayang-Ku! Hamba itu kembali
berkata : Wahai Tuhanku, bukankah aku masuk syurga kerana amalku? Allah berkata
: Hitunglah wahai para malaikat lebih banyak mana antara nikmat yang telah Aku
kurniakan kepadanya dengan amal yang telah dilakukannya!
Setelah dilakukan
perhitungan, ternyata pahala ibadah 500 tahun belum boleh mengalahkan
kenikmatan yang telah Allah kurniakan kepada hamba-Nya, tinggallah kenikmatan
anggota tubuh yang lain yang belum boleh dibayar dengan amal ibadahnya. Maka
Allah berkata : Wahai para malaikat, masukkan hamba-Ku ke dalam neraka! Maka
hamba itu pun dimasukkan ke dalam neraka. Hamba itu berkata : Wahai Tuhanku,
kalau begitu masukkan aku ke dalam syurga kerana rahmat dan kasih sayang-Mu!
Allah berkata : Kembalikan hamba-Ku ke dalam syurga. Maka hamba itu dihadapkan
kepada Allah.
Allah SWT bertanya :
Wahai hamba-Ku, siapa yang menciptakanmu ketika kamu tidak berupaya apa pun?
Hamba itu menjawab : Engkau wahai Tuhanku. Allah kembali bertanya : Siapa yang
membuatmu kuat hingga kamu mampu menjalankan ibadah kepada-Ku sebagaimana
mestinya selama 500 tahun? Hamba itu menjawab : Engkau wahai Tuhanku. Allah
kembali bertanya : Siapa yang menempatkanmu di gunung di tengah samudera yang
dalam, dan siapa yang mengeluarkan air tawar dari air masin dan mengeluarkan
buah delima pada setiap malam, pada hal sebenarnya buah delima itu seharusnya
berbuah sekali dalam setahun, kemudian Aku mengabulkan permintaanmu supaya kamu
dicabut nyawa dalam keadaan bersujud kepada-Ku? Hamba itu menjawab : Engkau
wahai Tuhanku. Allah berkata : Semua itu terjadi kerana rahmat dan kasih
sayang-Ku dan dengan rahmat-Ku juga Aku memasukkanmu ke dalam syurga.
Masukkanlah hamba-Ku ke dalam syurga, kerana kamu adalah hamba-Ku yang paling
taat.
Maka Allah
memasukkannya ke dalam syurga. Jibril berkata : Sesungguhnya segala sesuatu itu
terjadi berkat rahmat Allah wahai Muhammad.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan