11 September, 2009

Masjid Lebuh Acheh, Georgetown, Pulau Pinang.

Pemuliharaan bangunan lama merupakan suatu perkara yang baru bagi sesetengah masyarakat Malaysia dewasa ini.

Di bandar-bandar besar seperti Georgetown, Melaka, Taiping, Kota Bharu, Kuching dan Kuala Lumpur, pelbagai usaha pemuliharaan bangunan telah diambil oleh pihak awam dan swasta.

Ia bagi mempastikan bangunan-bangunan lama yang mempunyai warisan sejarah, seni bina dan budaya dapat dipelihara dan dikekalkan untuk tatapan generasi masa kini dan akan datang.

Di Georgetown, terdapat beberapa buah bangunan lama yang telah dipulihara dengan baik.



Salah sebuah bangunan yang telah dipulihara ialah Masjid Melayu Lebuh Acheh di Lebuh Acheh yang dibina pada 1808.
Terletak berdekatan dengan beberapa buah bangunan bersejarah di kawasan warisan di tengah bandar Georgetown seperti Rumah Syed Al-Attas dan Tokong Khoo Kongsi, Masjid Melayu Lebuh Acheh ini mempunyai warisan sejarah dan seni bina yang tinggi terutamanya di zaman kegemilangan serta kebangkitan Islam di Pulau Pinang pada awal abad ke-19.
Pada 1995, sebanyak RM2.2 juta telah diperuntukkan pihak kerajaan bagi kerja-kerja pemuliharaan Masjid Melayu Lebuh Acheh.
Projek pemuliharaan masjid ini telah mengambil masa selama dua tahun yang bermula pada Jun 1995 dan berakhir pada Jun 1997.
Ia diletakkan di bawah penyelarasan sebuah Jawatankuasa Pemandu Projek yang terdiri daripada pelbagai pihak termasuk Unit Penyelarasan Pelaksanaan di Jabatan Perdana Menteri, Pulau Pinang, Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Pejabat Kemajuan Negeri Pulau Pinang, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, Jabatan Muzium dan Antikuiti, Universiti Sains Malaysia, Jabatan Kerja Raya Pulau Pinang dan Badan Warisan Masjid Melayu Lebuh Acheh.
Sejarah Masjid Melayu Lebuh Acheh bermula pada 1792 apabila Tengku Syed Hussain Al-Aidid iaitu seorang kerabat diraja Acheh, Sumatera, Indonesia membuka sebuah kawasan perkampungan masyarakat Islam seluas 66,000 kaki persegi di Lebuh Acheh, Georgetown, Pulau Pinang.
Syed Hussain adalah seorang pedagang Acheh yang kaya dan berjaya ketika Pulau Pinang baru dibuka oleh Kapten Sir Francis Light pada akhir abad ke 18.
Dengan kekayaan dimilikinya, Syed Hussain dengan kerjasama kaum keluarga dan pengikutnya telah membuka dan memajukan sebuah penempatan di Lebuh Acheh dengan mendirikan sebuah masjid, menara, rumah kediaman, deretan rumah kedai, Madrasah al-Quran dan pejabat perdagangan.
Hasil usahanya ini secara tidak langsung telah mewujudkan sebuah pusat pengajian agama Islam dan pusat perdagangan antarabangsa yang bukan sahaja terkenal pada ketika itu tetapi yang terulung dan terawal di Pulau Pinang.
Bilangan penduduk dan masyarakat di perkampungan Masjid Melayu Lebuh Acheh telah berkembang pesat dengan kedatangannya ramai pedagang-pedagang baru dari negeri-negeri di Tanah Melayu, Tanah Arab dan India.
Selepas kematiannya pada pertengahan abad ke-19, perkampungan tersebut terus berkembang maju dan telah mencapai tahap kegemilangannya sehingga akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20.
Beliau telah disemadikan di sebuah makam yang terletak bersebelahan Masjid Melayu Lebuh Acheh. Di kawasan makam ini juga terdapatnya beberapa kubur ahli keluarga Syed Hussain.
Perkampungan Masjid Melayu Lebuh Acheh telah menyaksikan pelbagai jenis perdagangan termasuk perniagaan rempah ratus, bazar pakaian dan barangan kemas, percetakan kitab agama Islam, pengurusan haji dan kedai-kedai makanan.
Suatu ketika dahulu, perkampungan ini dikenali sebagai "Jeddah Kedua" di rantau ini. Ini adalah kerana di kawasan inilah ratusan bakal-bakal haji dari Malaysia, Indonesia dan Thailand berkumpul sebelum berlepas ke tanah suci Mekah.
Bakal-bakal haji ini akan menaiki kapal laut yang telah disewa dari syarikat swasta Inggeris, Mansfield & Co. di bawah jaminan Sheikh Zakaria Basheer. Tidak hairanlah sekiranya terdapat banyak syarikat pengurusan bakal-bakal haji dan wakil-wakil penjualan tiket penumpang kapal laut termasuk syarikat Jeddah Pilgrims Ticketing Agency yang beralamat di No. 87, Lebuh Acheh.
Setiap kali musim haji tiba, pekarangan dan persekitaran Masjid Melayu Lebuh Acheh menjadi sibuk bukan sahaja dipenuhi oleh bakal-bakal haji yang menunggu dokumen-dokumen haji mereka diproses tetapi juga dibanjiri oleh saudara-mara dan sahabat-handai.
Ini telah menyebabkan hampir kesemua rumah-rumah di kawasan masjid ini telah disewakan kepada orang ramai. Bagaimanapun, segala urusan haji telah terhenti semasa Perang Dunia Kedua dan disambung semula pada 1949.
Dengan tertubuhnya Lembaga Urusan dan Tabung Haji Malaysia pada awal 1970an, perkhidmatan pengurusan haji di perkampungan Masjid Melayu Lebuh Acheh telah dihentikan.
Selain daripada menjadi pusat perniagaan Melayu dan pusat haji, kawasan perkampungan Masjid Melayu Lebuh Acheh telah menjadi pusat pengajian agama Islam yang terulung di Pulau Pinang.
Sheikh Omar Basheer Al-Khalilee yang pernah tinggal di rumah beralamat No. 69, Lebuh Acheh telah menjadi imam di Masjid Melayu Lebuh Acheh sebelum pertengahan abad ke-19 dan juga pernah mengajar agama Islam kepada masyarakat tempatan.
Selepas kematian Sheikh Omar Basheer, anaknya Sheikh Zakaria telah mengambil-alih tugasnya sebagai pemimpin agama di kawasan tersebut. Sheikh Zakaria kemudiannya telah dilantik sebagai Mufti Pulau Pinang yang pertama.
Pada 1888, abangnya Sheikh Yahya telah dilantik sebagai Kadi Pulau Pinang yang pertama yang mana beliau telah menjadikan rumah beralamat No. 69, Lebuh Acheh sebagai pejabat kadinya.
Kemudian pada 1917, Sheikh Zakaria telah menjadikan rumah kediamannya sebagai Madrasah al-Quran.
Selain daripada aspek sejarah dan latar belakangnya yang menarik, perkampungan Masjid Melayu Lebuh Acheh mempunyai warisan seni bina yang unik.
Masjid Melayu Lebuh Acheh yang dilengkapi dengan menara bersegi lapan, kolah wuduk, tandas, perigi, anjung dan kawasan makam yang mencerminkan gabungan pengaruh seni bina Moorish (seni bina yang berasal dari utara India), Cina dan Klasik


2 ulasan:

faizan berkata...

Salam.. mohon untuk mengambil sekeping gmabar masjid acheh utk diletakkan di dalam http//:www.islamgrid.com/mosque
direktori masjid malaysia.
Laman web ni dibangunkan inhouse oleh Jakim tanpa mengupah mana2 kontraktor.. saya juga berbesar hati jika tuan dapat menyumbang gambar masjid yang lain.. Tuan juga boleh meletakkan watermark nama tuan pada gambar tersebut
terima kasih..

faizan berkata...

tuan boleh hubungi saya di
faizan@islam.gov.my
terima kasih